Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Noraniza Idris alami kemurungan ditipu penganjur

    Penyanyi Malaysia, Noraniza Idris, berdepan dengan masalah kemurungan teruk susulan menjadi mangsa penipuan penganjuran Konsert Malai solo yang sepatutnya berlangsung pada Oktober tahun lalu.

    Noraniza, 54, berkata, kejadian itu menyebabkan dia tidak mahu berdepan dengan orang ramai termasuk enggan lagi bergiat aktif dalam dunia nyanyian.

    “Sejak insiden yang berlaku itu saya sudah serik! Saya mengalami trauma, kemurungan yang teruk selama tujuh bulan sebelum berani tampil depan umum.

    “Pengarah muzik konsert tiba-tiba hilang, jadi saya terpaksa hadap semua masalah ini seorang diri. Lama saya ambil masa untuk pulih,” katanya kepada mStar.

    Noraniza berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media ASGV minggu ke-9 yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor pada malam Ahad lalu.

    Noraniza terpaksa berehat sebentar daripada menyanyi. – mStar

    Dalam pada itu, penyanyi lagu Dikir Puteri ini juga memberitahu kejadian itu membuatkan emosinya terganggu sehingga boleh menyebabkan dia mengalami histeria setiap kali ada orang membangkitkan tentang konsert itu.

    Menyedari apa dialami bukan perkara normal, Noraniza turut mendapatkan nasihat di hospital bagi memulihkan kemurungan dialami.

    “Saya ada berjumpa dengan pakar untuk meminta nasihat tetapi selepas diberi surat rujukan untuk pemeriksaan lanjut saya tidak ke hospital.

    “Pada ketika itu saya tak boleh langsung bercakap tentang perkara ini kerana kalau bercakap saya akan jadi histeria.

    “Bila suami saya beri nasihat untuk lebih tenang, saya boleh terus menjerit seperti orang hilang punca,” ujarnya.

    Pun begitu, Noraniza meluahkan rasa syukur dan memaklumkan keadaan dirinya kini sudah stabil dan tidak lagi mempunyai masalah untuk berdepan dengan orang ramai.

    Ditanya sama ada selepas ini dirinya terbuka untuk menganjurkan semula konsert, Noraniza memberitahu selepas apa yang berlaku banyak mengajarnya untuk lebih berhati-hati. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda