Friday, November 1, 2024
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Olimpik: Atlet China bermula cemerlang

    PARIS, 28 JULAI – Atlet Olimpik China telah membuat permulaan yang baik dan memenuhi jangkaan pada temasya Olimpik kali ini apabila meraih dua pingat emas dan satu gangsa pada hari pembukaan Paris 2024, kata setiausaha agung delegasi Olimpik China, Zhang Xin.

    Penembak China, Sheng Lihao dan Huang Yuting memenangi emas pertama Paris 2024 untuk negara itu menerusi kemenangan 16-12 ke atas Korea Selatan dalam acara akhir 10m air rifle berpasukan campuran, lapor Agensi  Berita Xinhua.

    “Kedua-dua remaja itu menunjukkan kekuatan daya saing yang hebat dan kekuatan mental yang luar biasa, yang membantu mereka membawa pulang pingat emas kepada China. Apabila lawan mereka terus mengurangkan jurang, mereka berjaya menghalang pihak lawan daripada mengubah kedudukan. Mereka layak dipuji,” kata Zhang.

    Membincangkan kemenangan penerjun Chang Yani dan Chen Yiwen dalam acara akhir 3m papan anjal seirama wanita, Zhang berkata Chang dan Chen menunjukkan kekuatan pasukan terjun China.

    “Dalam acara renang, kami tahu bahawa perenang Australia dan Amerika lebih kompetitif dalam acara 4x100m gaya bebas wanita berbanding kami. Bagaimanapun, kami berjaya memenangi podium dan memecahkan rekod Asia. Ia adalah pingat gangsa yang berharga untuk delegasi kami,” tambah Zhang.

    Zhang turut memuji ramai atlet China, termasuk pasukan renang lelaki yang menduduki tempat keempat dalam acara 4x100m gaya bebas, serta Tang Xin yang menduduki tempat ke-32 dalam ujian individu wanita dalam acara berbasikal lebuh raya, pasukan pingpong, pasukan badminton dan pasukan gimnastik artistik lelaki. – Bernama

    Huang Yuting dan Sheng Lihao dengan pingat emas atas podium semasa Sukan Olimpik Paris 2024 di Pusat Menembak Chateauroux kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda