Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ops Sepadu kesan 3 kesalahan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan SDT

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 FEB – Beberapa kesalahan telah dikesan semasa operasi bersepadu yang dijalankan oleh Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) dan Tabung Amanah Pekerja (TAP) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri di Kuala Belait dan Seria pada 4 Februari lalu.

    Menurut kenyataan dikeluarkan SDT, semasa operasi itu satu notis peringatan telah dikeluarkan atas kesalahan tidak memaparkan tanda berat ke atas beberapa produk barang-barang berbungkus dan mempamerkan tanda berat yang tidak betul seperti mana tanda berat yang tertera pada bungkusan buah, sayur segar dan makanan kering.

    Manakala itu, seorang pekerja didapati belum berdaftar dan belum dicarumkan dengan TAP.

    Pada masa yang sama, Jabatan Buruh mendapati satu kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009 Bab 10.

    Semasa operasi itu juga, pihak pengurusan dan pekerja-pekerja pembungkus turut dikongsi tatacara membungkus dan menimbang dengan betul. Selain itu, Unit SDT mendapati tujuh unit alat sukat dan timbang digunakan bagi perdagangan mematuhi Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151.

    Operasi bersepadu itu merupakan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan secara rutin dalam memastikan sebarang penggunaan alat sukat dan timbangan bagi tujuan perdagangan adalah sah, tepat dan berdaftar selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151.

    Operasi terbabit juga menguatkuasakan peruntukan Bab 23 Akta Amanah Pekerja (Penggal 167) dan Bab 26 Perintah Amanah Pencen Caruman Tambahan 2009 iaitu gagal membayar dan memenuhi sebarang peraturan atau aturan yang dibuat di bawah undang-undang, Akta Kesalahan-kesalahan Kecil (Pindaan 2021) dan Akta Perintah Pekerjaan 2009.

    Sehubungan itu, Jabatan Buruh memohon supaya para majikan sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan dan pembayaran gaji tepat pada tempoh yang ditetapkan.

    Pihak penguat kuasa mengongsi tatacara membungkus dan menimbang dengan betul kepada pihak pengurusan dan pekerja di sebuah pasar raya yang diperiksa.
    Penguatkuasa TAP semasa memeriksa pekerja di salah sebuah premis perniagaan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda