Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Palsukan kehamilan lebih 17 kali untuk dapat cuti bersalin

    ITALI, 21 FEB – Seorang wanita warganegara Itali dituduh memalsukan sekitar 17 kehamilan iaitu 12 ‘keguguran kandungan semula jadi’ dan lima kelahiran palsu dalam tempoh 24 tahun.

    Menurut laporan Oddity Central, wanita tersebut memalsukan kehamilan demi menerima faedah bersalin sebanyak 110,000 euro (AS$120,000).

    Barbara Ioele, 50, telah mencatatkan jumlah kehamilan yang luar biasa dalam tempoh 24 tahun, yang mana dia telah diberikan cuti bersalin selama bertahun-tahun dan insentif yang dibayar oleh kerajaan.

    Menurut dokumen yang difailkan oleh wanita itu, dia menjalani 17 kehamilan, 12 daripadanya ‘keguguran kehamilan’.

    Lima yang lain didakwa ‘dilahirkan’ dengan sihat dan diberikan nama Benedetta, Angelica, Abramo, Letizia, dan Ismaele, namun tidak ada rekod mereka pernah didaftarkan dan tiada sesiapa yang pernah melihat mereka.

    Gambar Freepik

    Barbara didakwa ‘melahirkan’ anak bongsunya pada Disember tahun lalu, tetapi kini pihak berkuasa mendakwa dia berada di bawah pengawasan sepanjang penghujung kehamilannya dan me-reka mempunyai bukti bahawa dia tidak pernah hamil.

    Mereka juga menuduhnya telah memalsukan semua 17 kehamilan yang dinyatakan untuk menerima faedah lebih dari 110,000 euro dan mendapat cuti dari tempat kerja.

    Pendakwa raya mendakwa bahawa penipuan yang rumit selama dua dekad yang lalu melibatkan sijil kelahiran yang dicuri dari klinik Rom dan dokumen palsu lain dan tandatangan doktor, bantal untuk meniru wanita hamil dan cara berjalan untuk kelihatan hamil.

    Untuk mengesahkan semua ‘kehamilannya’, Barbara Ioele mendaftarkan sijil perubatan yang dicuri dengan tandatangan palsu dan dapat menerima faedah bersalin serta cuti bersalin selama bertahun-tahun dari pelbagai majikan.

    Hebatnya, tiada siapa yang mengesyaki apa-apa memandangkan dia dilaporkan telah melakukannya sejak tahun 2000, tetapi nasibnya berakhir tahun lepas apabila polis buruh mula memantau kehamilan terbarunya, mengikutinya dan mengumpulkan bukti bahawa dia sebenarnya tidak hamil.

    Insiden tersebut juga memulakan siasatan ke atas kehamilan terdahulu. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda