Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar Sabah nikmati pembaikan sekolah daif, selenggara bangunan

    KOTA KINABALU, 3 MEI – Seramai 514,070 murid dan pelajar di Sabah menikmati prasarana sekolah lebih baik hasil usaha berterusan kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pendidikan dalam menaik taraf sekolah daif serta kerja-kerja penyelenggaraan bangunan sekolah di negeri itu.

    Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata 291,911 daripadanya adalah murid di sekolah rendah kebangsaan, manakala selebihnya pelajar di sekolah menengah.

    “Jumlah itu adalah berdasarkan bilangan sekolah daif yang telah dinaik taraf dan peruntukan projek penyelenggaraan prasarana sekolah harian biasa,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata Sabah mempunyai lebih 1,200 sekolah di seluruh negeri dengan menyaksikan pelbagai ciri bangunan, dan ada antaranya masih menggunakan bangunan kayu yang sudah mencecah lebih 50 tahun.

    Raisin berkata gerak kerja mengenal pasti data sekolah daif di Sabah khususnya pada skala enam dan tujuh telah dimulakan secara komprehensif pada 2020, dengan 414 sekolah dikesan berada dalam kategori itu.

    Bagaimanapun menurutnya, data berkenaan semakin menyaksikan penurunan susulan kesungguhan kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pendidikan menyalurkan peruntukkan kepada Sabah bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan sekolah daif dan penyelenggaraan bangunan sekolah.

    Menurutnya lagi, Jabatan Pendidikan Sabah komited menjadikan usaha untuk mensifarkan sekolah daif menjelang 2029, dan ia merupakan antara yang terkandung dalam deklarasi bagi membina landskap baharu pendidikan di Sabah. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda