KOTA BELUD, 16 DIS – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick mahu lebih ramai petani di daerah ini khususnya di kawasan Kadamaian menceburi dan mengembangkan lagi pertanian lada hitam sebagai satu perniagaan berikutan pasarannya yang meluas.
Sehubungan itu, Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian menyumbang 600 anak pokok lada hitam kepada 30 peserta yang menyertai Kursus Lada Hitam sebagai sokongan kepada petani di kawasan itu selain komitmen berterusan untuk membangunkan tanaman tersebut.
“Saya berharap ini akan menjadi permulaan kepada petani untuk mengusahakan tanaman lada hitam yang lebih luas pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan selepas menyampaikan anak pokok lada hitam kepada peserta terlibat di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penanam dan Pengusah Lada Hitam Kota Belud, Janus Tioon dalam kenyataan sama berkata sumbangan anak pokok lada hitam tersebut memberi peluang serta galakan kepada petani di Kadamaian untuk memulakan seterusnya mengembangkan tanaman tersebut.
Janus menyifatkan sumbangan itu membuktikan kesungguhan dan komitmen Ewon untuk membantu mengembangkan lagi penanaman lada hitam di Kadamaian, seterusnya memberi semangat kepada petani yang baharu menceburi bidang itu.
Peserta kursus yang juga penerima sumbangan anak pokok lada hitam, Nani Sikin dari Kampung Piasau berkata ini kali pertama dia mengusahakan tanaman itu dan berharap sumbangan tersebut akan menjadi permulaan kepada perusahaan lada hitam yang lebih luas pada masa akan datang. – Bernama