Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pencapaian BARA membanggakan

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Komuniti acara perlumbaan berhalangan (OCR) Brunei meraikan pencapaian signifikan atlet Brunei iaitu Dayang Low Leng May yang berjaya mendapat kedudukan tempat ketiga dalam Kategori Wanita Terbuka semasa Kejohanan Sukan Berhalangan Asia 2024 yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia baru-baru ini.

    Dayang Low Leng May bergambar dengan pingat tempat ketiga yang dimenanginya dalam Kategori Wanita Terbuka, Kejohanan Sukan Berhalangan (OCR) Asia 2024 di Kuala Lumpur, Malaysia.

    Kejohanan yang dihoskan oleh Malaysia Obstacle Race Sports Association (MORSA) menyaksikan penyertaan atlet-atlet elit dari Australia, Indonesia, Negara Brunei Darussalam, Amerika Syarikat, Malaysia, Hong Kong, Filipina dan Iran dengan Korea Selatan dan India hadir sebagai pemerhati.

    Dalam temu bual mengenai kejayaannya itu, Dayang Low Leng May menyatakan bahawa kejohanan itu merupakan penyertaan ketiga baginya dalam pertandingan luar negara dan beliau hanya menyertai Pasukan OCR Brunei pada September 2023 yang menjadikan pencapaiannya dalam kejohanan itu lebih mengagumkan.

    Beliau menyatakan bahawa mendapat kedudukan tempat ketiga dalam kejohanan itu merupakan satu peristiwa yang amat bermakna kerana ia merupakan kali pertama beliau mencapai keputusan seumpama itu. May juga berkata ini adalah catatan masa terbaik peribadinya buat kali pertama sekali gus menunjukkan peningkatan serta dedikasinya dalam sukan berkenaan.

    Semasa beliau layak untuk memasuki peringkat separuh akhir, May bertekad untuk melakukan yang terbaik dan berjaya menduduki tempat ketiga. Melihat ke hadapan, May akan terus komited kepada latihan yang ketat untuk memantapkan lagi keberkesanan dan teknik dalam lumba berhalangan untuk meningkatkan lagi prestasi dalam kejohanan akan datang.

    Ahli-ahli lain dalam pasukan OCR Kebangsaan Brunei, Brunei Adventure Recreation Association (BARA) yang menyertai Kejohanan Sukan Berhalangan Asia 2024 adalah Awang Muhd Hasnal Husna bin Ahmad, Azizil Anwar bin Mosli, Haji Muhd Hafizh bin Abdul Khalid, Mohamad Izzat bin Dato Paduka Haji Mohamad Murad, Low Leng May, Sofiyah Syairah binti Haji Saifulizan dan Gabrielle Chin Siew Li.

    Presiden BARA, Yasmin Patera yang turut hadir semasa kejohanan itu menyatakan perasaan bangga dengan prestasi dan keputusan kesemua atlet yang bertanding dengan semangat juang yang tinggi. Beliau juga menyatakan bahawa kesemua atlet dapat menyesuaikan diri dengan baik kepada cabaran unik laluan berhalangan pada kejohanan berkenaan yang menunjukkan kemahiran serta daya tahan mereka.

    GAMBAR- GAMBAR SERAHAN BARA

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda