Sunday, September 8, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penduduk Daerah Permata Hijau junjung keberangkatan raja tercinta

    Oleh Sim Y. H – 

    BANGAR, 25 JULAI – Penduduk Daerah Temburong tidak melepaskan peluang untuk sama-sama keluar dan berkumpul dari awal pagi lagi dengan penuh semangat perpaduan untuk menjunjung keberangkatan, menyembahkan ucapan menjunjung kasih serta taat setia kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang berkenan berangkat bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, di sini, hari ini.

    Berangkat sama ke majlis itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

    Cuaca cerah pada waktu pagi di Daerah Temburong bagai mengalu-alukan segenap lapisan rakyat dan penduduk daerah Permata Hijau, untuk keluar sama menjunjung keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja.

    Majlis ramah mesra di daerah ini adalah yang kedua selepas Daerah Tutong, Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-78 tahun.

    Keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja ke pentas diraja dialu-alukan dengan pukulan hadrah serta dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman serta Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan berangkat bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, Daerah Temburong, kelmarin. – GAMBAR OLEH KHAYR ZAKARIYYA
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan dijunjung bergambar ramai pada Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, Daerah Temburong, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dijunjung berangkat ke pondok BIBD oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri. – GAMBAR SERAHAN BIBD
    Baginda Sultan berkenan dijunjung berangkat menyaksikan persembahan bersama rakyat dan penduduk Daerah Temburong kelmarin. – GAMBAR OLEH KHAYR ZAKARIYYA
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mencuba sumpit pada majlis ramah mesra tersebut. – GAMBAR OLEH KHAYR ZAKARIYYA
    ATAS & BAWAH : DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah berkenan berangkat ke majlis ramah mesra di Daerah Temburong. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH : Antara pelajar dan guru yang hadir semasa majlis ramah mesra berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Baginda Sultan berserta kerabat diraja dijunjung ke pentas diraja dan lagu kebangsaan, Allah Peliharakan Sultan, dimainkan.

    Baginda Sultan berserta kerabat diraja kemudian dijunjung untuk menyaksikan persembahan khas bertemakan, Raja Untuk Rakyat dan Rakyat Untuk Raja, daripada kumpulan-kumpulan belia dan kanak-kanak yang ceria, bertenaga dan penuh warna-warni yang mengandungi tiga segmen serta melibatkan penyertaan 421 murid-murid serta penuntut-penuntut sekolah dan belia di Daerah Temburong.

    Seterusnya, Baginda Sultan berserta kerabat diraja dijunjung berangkat menerima junjung ziarah daripada rakyat dan penduduk Daerah Temburong.

    Majlis kemudian menyaksikan penyertaan dan kehadiran pelbagai persatuan dan kumpulan yang sama-sama memeriahkan lagi suasana termasuk Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA), Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE), Persatuan Veteran ABDB Cawangan Temburong (PERWIRA), Persatuan Anggota Polis Diraja Brunei Yang Bersara (POLSARA), Pengawasan Kejiranan, Persatuan PERTIWI Daerah Temburong, AJK Takmir Masjid Daerah Temburong, Persatuan Saudara Baharu Temburong (PESAT), Persatuan Pengakap Daerah Temburong, PERSIB, Persatuan Masyarakat Tionghua, Persatuan Masyarakat Iban Temburong (PMIT) dan Persatuan Lun Bawang Murut Brunei.

    Sementara itu, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah menyembahkan kehadapan majlis Baginda Sultan mengenai perancangan untuk membina sebuah kemudahan BIBD Connects di daerah ini iaitu sebuah projek yang bermatlamat untuk menjana sebuah atmosfera segar dan mantap dengan aktiviti-aktiviti komersial di Temburong.

    Ia akan menjadi kemudahan BIBD Connects ketiga yang diperkenalkan berikutan dengan pelancaran BIBD Connects Lambak pada 2018 dan BIBD Connects TMJE pada 2019.

    Bangunan moden dengan reka bentuk menonjol di Temburong akan menjadi sebuah mercu tanda ikonik yang akan menyuntik tenaga baharu dan estetika kontemporari ke dalam daerah berkenaan.

    Dengan menyediakan ruangan jualan khusus dan ruang terbuka bagi inisiatif keusahawanan, BIBD Connects ketiga akan menjadi hab bagi suasana perniagaan yang semakin berkembang Temburong.

    Lokasi strategik Temburong dengan kesalinghubungan dipertingkatkan dengan adanya Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien, meletakkan daerah ini sebagai pintu masuk kepada peluang-peluang ekonomi baharu.

    Bangunan BIBD Connects ketiga akan melengkapi infrastruktur berkenaan dengan merangsang penjanaan pekerjaan dan pertumbuhan perniagaan bukan sahaja di Temburong tetapi juga di seluruh negara.

    Perniagaan dari pelbagai saiz khususnya PMKS, boleh memanfaatkan kombinasi unik ruang komersial dan mudah diakses untuk mengembangkan jangkauan mereka serta menyumbang kepada kemakmuran ekonomi keseluruhan negara.

    Kemudahan itu juga dijangka akan menjadi pusat perkumpulan bagi masyarakat Temburong, mempromosikan interaksi dan memupuk identiti bersama.

    Majlis berkenaan merupakan salah satu acara yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat dan penduduk daerah berkenaan sebagai peluang untuk beramah mesra dengan raja dan pemimpin yang amat dikasihi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda