Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penduduk panik akibat gegaran susulan

    MANILA, 3 DIS – Gempa berukuran 6.6 magnitud melanda selatan Filipina hari ini, kata Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS), sehari selepas gempa yang lebih kuat di wilayah yang sama mengorbankan dua orang dan mencetuskan amaran tsunami.

    Gempa terbaru itu, yang merupakan salah satu daripada beberapa gempa susulan kuat yang dirasai di rantau ini sejak lewat kelmarin, melanda sekitar 6:36 petang waktu tempatan pada kedalaman 56 kilometer timur laut Perbandaran Hinatuan di pulau Mindanao.

    Di kawasan yang sama, penduduk telah melarikan diri ke kawasan yang lebih tinggi pada malam sebelumnya berikutan gempa bumi berskala 7.6 magnitud.

    Sekurang-kurangnya dua orang terkorban dan beberapa orang cedera akibat gempa itu, kata pihak berkuasa. Ia diikuti oleh lima gempa susulan utama berukuran melebihi 6.0 magnitud hingga Ahad, menurut USGS.

    Pegawai polis Hinatuan, Sarjan Joseph Lambo, berkata gempa petang hari ini telah menyebabkan orang bergegas keluar dari rumah mereka lagi.

    “Mereka panik kerana kejadian gempa malam sebelumnya,” kata Lambo kepada AFP.

    Beliau berkata polis sedang membuat pemeriksaan lanjut terhadap sebarang kerosakan atau kecederaan.

    Gempa bumi yang berlaku kelmarin mencetuskan amaran tsunami di seluruh rantau Pasifik dan menyebabkan penduduk di sepanjang Pantai Timur Mindanao melarikan diri dari bangunan, mengosongkan hospital dan mencari tempat yang lebih tinggi. – AFP

    Gambar bertarikh 3 Disember menunjukkan rumah-rumah mengalami kerosakan teruk susulan kejadian gempa bumi yang melanda Perbandaran Hinatuan di pulau Mindanao.- AFP

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda