Wednesday, January 15, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perdagangan negara menurun 53.9% – IMTS

    Oleh Syahmi Hassan – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Jumlah perdagangan menurun tahun-ke-tahun sebanyak 53.9 peratus, daripada $3,037.3 juta pada bulan April 2022 kepada $1,401.5 juta pada bulan April 2023.

    Penurunan tersebut disebabkan oleh penurunan nilai eksport sebanyak 56.2 peratus daripada $1,740.5 juta kepada $761.7 juta. Manakala nilai import juga menurun sebanyak 50.7 peratus daripada $1,296.8 juta kepada $639.8 juta.

    Penurunan nilai eksport adalah didorong oleh nilai eksport gas asli cecair (LNG) dan Produk Petroleum yang lain khususnya bahan api diesel automatif, menurut Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, dalam kenyataan mengenai Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) April 2023, yang dikeluarkan kelmarin.

    Sementara penurunan nilai eksport LNG adalah disebabkan oleh penurunan jumlah isipadu sebanyak 11.7 peratus dan harga eksport sebanyak 18.4 peratus.

    Dari segi komoditi eksport, Bahan Api Galian merupakan penyumbang utama eksport Negara Brunei Darussalam iaitu sebanyak 77.0 peratus, diikuti dengan Bahan Kimia (19.2 peratus), dan Jentera dan Kelengkapan Pengangkutan (1.7 peratus).

    Prestasi perdagangan negara tahun ke tahun bagi Negara Brunei Darussalam. – Gambar serahan JPES

    Lima komoditi import utama pada bulan April 2023 adalah Bahan Api Galian (51.4 peratus), diikuti oleh Jentera dan Kelengkapan Pengangkutan (17 peratus), Makanan (10.3 peratus), Bahan Kimia (7.1 peratus), dan Barang-Barang Keluaran Kilang (6.9 peratus).

    Pasaran eksport utama pada bulan April 2023 adalah Jepun (21.9 peratus), diikuti oleh Singapura (19.7 peratus) dan Australia (14.2 peratus). Komoditi eksport terbesar adalah Minyak Mentah, LNG dan produk industri hiliran minyak dan gas.

    Sumbangan terbesar rakan dagangan import adalah dari Emiriah Arab Bersatu (18.7 peratus), diikuti oleh Arab Saudi (18.6 peratus) dan Malaysia (17.4 peratus), dengan Minyak Mentah sebagai komoditi import terbesar.

    Sebanyak 57.3 peratus import adalah digunakan sebagai Barangan Perantaraan bagi pemprosesan, diikuti oleh Barangan Modal (37.1 peratus) untuk operasi perniagaan dan Barangan Penggunaan (5.6 peratus) bagi kegunaan isi rumah.

    Sebanyak 93.5 peratus jumlah perdagangan dihantar melalui pengangkutan laut. Ia diikuti oleh pengangkutan udara (4.7 peratus) dan melalui darat (1.8 peratus).

    Bagi perubahan bulan-ke-bulan, berbanding bulan Mac 2023, jumlah perdagangan menurun sebanyak 5.4 peratus terutamanya disebabkan oleh penurunan nilai eksport sebanyak 24.1 peratus.

    Laporan IMTS bagi bulan April 2023 boleh didapati melalui laman sesawang JPES.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda