Monday, December 2, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesta buku DBP santuni budaya

    Oleh: Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Usaha terus dilaksanakan untuk menanam minat membaca di kalangan generasi muda khususnya para pelajar dengan harapan untuk memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat.

    Dalam hubungan itu, Pesta Buku Brunei 2024 yang membawa tema Lestari Buku Santuni Budaya diharap akan melahirkan masyarakat yang berpengetahuan, menghargai budaya dan memiliki rasa bangga terhadap jati diri bangsa.

    Pesta Buku Brunei yang merupakan projek tahunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di mana ia bukan sahaja menumpukan kepada memperkasakan budaya membaca tetapi meliputi lebih daripada sekadar membaca iaitu melangkaui buku.

    Pesta buku yang sedang berlangsung sehingga 11 November di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu menyaksikan kunjungan yang amat menggalakkan daripada pelajar-pelajar sekolah bersama guru mereka yang tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan bahan bacaan menarik yang diketengahkan oleh para peserta pesta buku.

    Tinjauan Media Permata di sana hari ini, menyaksikan pesta buku menerima kunjungan daripada ratusan murid dan pelajar sekolah yang sama-sama hadir untuk melihat dengan lebih dekat bahan bacaan, buku dan peralatan sekolah yang diketengahkan di samping mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang menguji kemahiran bahasa mereka.

    Media Permata turut menemu bual ringkas seorang guru matapelajaran Sains dari Sekolah St Andrew’s, Nur Aqilah yang menyatakan bahawa inisiatif untuk mengadakan pesta buku berkenaan adalah amat baik sekali di mana ia dapat menanam minat membaca dalam kalangan pelajar.

    Beliau turut menyatakan bahawa sekolah berkenaan akan berkunjung ke pesta buku setiap kali ia diadakan untuk memberikan peluang kepada para pelajar mendapatkan bahan bacaan yang menarik minat mereka serta untuk menanamkan minat membaca di kalangan mereka.

    Mengulas mengenai dengan pesta buku berkenaan, beliau menyatakan harapan supaya lebih banyak aktiviti diadakan sepanjang pesta buku itu, untuk menggalakkan penyertaan para pelajar khususnya aktiviti-aktiviti pendidikan.

    Manakala itu, beberapa orang pelajar yang berkunjung ke pesta buku berkenaan menyatakan perasaan seronok kerana berpeluang untuk mendapatkan buku-buku dan juga peralatan sekolah yang turut dijual pada harga yang berbaloi.

    Pesta Buku Brunei 2024 menampilkan sebanyak 37 pempamer dalam dan luar negara yang menawarkan jualan buku dengan potongan harga yang menarik. Pesta buku berkenaan dibukakan bagi kunjungan orang ramai bermula 2 November hingga 11 November dari pukul 8.30 pagi hingga pukul 9.30 malam kecuali pada Jumaat yang mana ia dibuka dari pukul 8.30 pagi hingga 11.30 pagi dan dari pukul 2.30 petang hingga pukul 9.30 malam.

    Rombongan dari Sekolah St Andrew’s bergambar ramai semasa mengadakan kunjungan ke pesta buku berkenaan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda