Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pindah ratusan kucing terbiar

    SAN JUAN, 29 NOV – Ratusan ekor kucing terbiar berkeliaran di kawasan pelancongan tepi laut yang bersejarah di ibu negara Puerto Rico, di mana ia dianggap sebagai tarikan tetapi juga gangguan, akan dipindahkan dalam tempoh setahun akan datang, di bawah rancangan yang diumumkan kelmarin oleh Perkhidmatan Taman Kebangsaan Amerika Syarikat.

    Agensi itu berkata ia akan mendapatkan sebuah organisasi kebajikan haiwan untuk memindahkan kira-kira 200 ekor kucing yang dianggarkan hidup di tanah 75 ekar di sekitar sebuah kota di Taman Sejarah Kebangsaan San Juan yang dikendalikan oleh agensi persekutuan di Old San Juan.

    Jika organisasi itu gagal memindahkan kucing-kucing tersebut dalam tempoh enam bulan, perkhidmatan taman itu berkata ia akan mendapatkan khidmat agensi pemindahan.

    Peminat kucing tidak menyambut baik rancangan itu, tetapi agensi itu berkata kucing boleh menyebar penyakit kepada manusia. “Semua pengunjung akan mendapat faedah daripada penghapusan vektor penyakit yang berpotensi dari taman ini,” tegas rancangan perkhidmatan taman itu.

    Jadual enam bulan untuk mengeluarkan kucing-kucing itu dianggap tidak realistik, kata Ana María Salicrup, Setiausaha Lembaga Pengarah bagi Kumpulan Sukarelawan, Save a Gato (SAG), yang kini membantu menjaga kucing-kucing itu dan berharap untuk dipilih melaksanakan rancangan itu.

    Kucing-kucing pelbagai saiz, warna dan tabiat berjalan-jalan di sepanjang laluan tepi laut yang mengelilingi sebuah kota abad ke-16 yang dikenali sebagai ‘El Morro’ berhadapan dengan laut biru tua di barat laut ibu negara San Juan.

    Sesetengah daripada kucing tersebut dipercayai sebagai keturunan kucing zaman penjajah, manakala yang lain dibawa ke ibu negara oleh legenda Datuk Bandar San Juan, Felisa Rincon de Gautier, untuk membunuh tikus pada pertengahan abad ke-20.

    Sejak itu, kucing berkenaan telah membiak menjadi beratus-ratus ekor, menarik perhatian beberapa penduduk dan pelancong, tetapi menjijikkan bagi beberapa orang yang lain.

    Pengunjung boleh dilihat mengambil gambar kucing setiap hari sementara penduduk tempatan dan kumpulan sukarelawan SAG menjaga haiwan tersebut. – AP

    Seekor kucing jalanan duduk di atas tembok di Old San Juan, Puerto Rico, pada 2 November 2022. Kucing-kucing terbiar dilihat berkeliaran di kawasan bersejarah ibu negara Puerto Rico. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda