Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Australia akan lawat China

    SYDNEY, 22 OKT – Perdana Menteri Australia akan melawat China pada awal November untuk bertemu Presiden Xi Jinping, Canberra mengesahkan perkara ini hari ini, ketika kedua-dua rakan perdagangan itu berusaha untuk memperbaiki hubungan.

    Perdana Menteri, Anthony Albanese mengesahkan lawatan tersebut akan diadakan dari 4 November hingga 7 November, selepas China bersetuju untuk menyemak cukai besar ke atas wain Australia yang telah mencetuskan pertikaian berpanjangan di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

    Ia juga berikutan pembebasan wartawan Australia, Cheng Lei, yang dihantar pulang dari China awal bulan ini selepas ditahan selama tiga tahun atas tuduhan pengintipan yang dilihat secara meluas sebagai bermotifkan politik.

    “Saya berharap untuk melawat China, satu langkah penting dalam memastikan hubungan yang stabil dan produktif,” kata Albanese dalam satu kenyataan.

    “Saya mengalu-alukan kemajuan yang kita capai dalam mengembalikan produk-produk Australia, termasuk wain Australia, ke pasaran China.”

    Lawatan yang dijangka itu akan menjadi kunjungan pertama ke China oleh seorang perdana menteri Australia sejak 2016.

    China telah mengenakan tarif ke atas eksport utama Australia seperti barli, daging lembu dan wain pada 2020, tindakan yang menunjukkan kekuatan ekonominya semasa pertikaian sengit dengan bekas kerajaan konservatif Australia.

    Ia juga menghentikan import beberapa komoditi penting di Australia, termasuk arang batu, sekali gus mengawal perdagangan bernilai berbilion dolar.

    China berasa marah dengan undang-undang Australia yang melarang syarikat teknologi Huawei daripada kontrak 5G dan juga tuntutan Australia untuk siasatan bebas mengenai asal-usul pandemik COVID-19. – AFP

    Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese bercakap kepada media semasa sidang media di Bangunan Parlimen di Canberra pada 22 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda