Tuesday, October 29, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Jepun sedia bentuk pakatan selepas hilang majoriti

    TOKYO, 28 OKT – Gabungan parti pemerintah Jepun kehilangan majoritinya di Dewan Perwakilan dalam pilihan raya umum kelmarin, memberi tamparan hebat kepada Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, yang kini perlu mencari sokongan tambahan di luar blok pemerintah untuk mentadbir kerajaan yang stabil.

    Bagaimanapun, Ishiba menyatakan kesediaan untuk membentuk kerajaan baharu yang dipimpin oleh partinya, lapor agensi berita Kyodo.

    Parti pembangkang yang terdiri daripada kedua-kedua kumpulan liberal dan berhaluan kanan, turut dijangka menghadapi kesukaran untuk bekerjasama dalam membentuk gabungan berikutan perbezaan matlamat dasar mereka.

    Keputusan buruk itu menonjolkan ketidakpercayaan yang semakin meningkat terhadap Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah didorong oleh skandal dana politik, menandakan perubahan sokongan sejak ia kembali berkuasa pada 2012 selepas menjadi pembangkang.

    Gabungan pemerintah memperoleh 215 daripada 465 kerusi dalam dewan, turun mendadak daripada 288, gagal mencapai sasaran untuk sekurang-kurangnya mengekalkan majoriti.

    Ishiba semasa bercakap pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Tokyo pada 28 Oktober. – AFP

    Blok itu masih akan gagal mencapai majoriti di Dewan Rakyat yang berkuasa jika Ishiba menerima semula bekas ahli parlimen yang bertanding sebagai calon bebas selepas dinafikan sokongan parti berhubung skandal tersebut.

    Parti pembangkang utama Parti Demokratik Perlembagaan Jepun (CDPJ) yang tampil sebagai alternatif kepada parti pemerintah mencatatkan peningkatan ketara dalam kerusi mereka.

    CDPJ memperoleh 148 kerusi, meningkat mendadak daripada 98.

    Prospek selepas pilihan raya masih tidak menentu, dengan beberapa parti pembangkang utama yang meraih kemenangan besar menolak kemungkinan menyertai kerajaan dengan blok pemerintah.

    Keputusan pilihan raya Dewan Rakyat ini akan menjadi cabaran besar bagi Ishiba dalam usaha membina semula LDP sebelum pilihan raya Dewan Kaunselor musim panas depan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda