Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Kemboja teruskan pemindahan penduduk kampung dari Angkor Wat

    PHNOM PENH, 8 DIS – Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet hari ini berikrar untuk meneruskan pemindahan ribuan keluarga dari kompleks kuil Angkor Wat, walaupun menerima kecaman antarabangsa daripada kumpulan hak asasi manusia.

    Pihak berkuasa telah lama menegaskan bahawa kira-kira 10,000 keluarga telah bersetuju dengan sukarela untuk meninggalkan tapak Warisan Dunia UNESCO dan berpindah ke Run Ta Ek, sebuah komuniti baharu kira-kira 25 kilometer jauhnya yang dibina di atas bekas sawah padi.

    Amnesty International bulan lalu menuduh Kemboja melanggar undang-undang antarabangsa melalui pengusiran penduduk secara paksa dari tempat tarikan pelancong utama negara itu dan menggesa agar ia dihentikan dengan serta-merta.

    Namun Hun Manet hari ini berkata bahawa pemindahan tersebut akan diteruskan supaya Angkor Wat, yang dianggap sebagai ‘jiwa negara’, dapat dilindungi, dan menggesa lebih ramai penduduk kampung untuk berpindah.

    “Kita pada abad ke-21 harus bersatu untuk memelihara dan mengambil tindakan agar ‘jiwa ini’ kekal hidup selama ribuan tahun lagi,” katanya.

    “Ini adalah langkah pertama. Kami akan meneruskan pemindahan,” katanya sambil mengarahkan pihak berkuasa menghalang orang ramai daripada menetap di tapak itu.

    Perdana menteri itu mengakui bahawa tidak mudah untuk berpindah dari satu tempat ke satu tempat semasa majlis penyampaian hak milik tanah kepada hampir 5,000 keluarga.

    Beliau berjanji akan membina infrastruktur yang amat diperlukan di Run Ta Ek, serta menyediakan 10 bas tambang percuma setiap hari antara tapak baharu dan lama.

    Hun Manet berkata pemindahan itu adalah disebabkan ‘beberapa syarat’ daripada UNESCO, tanpa menyatakan butiran, agar Angkor Wat kekal sebagai tapak warisan dunia. – AFP

    Gambar fail menunjukkan pelancong melawat kuil Angkor Wat di wilayah Siem Reap pada 17 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda