Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis AS lancar operasi besar-besaran buru lelaki bersenjata

    LEWISTON, 26 OKT – Satu operasi besar-besaran sedang dijalankan hari ini untuk mencari seorang lelaki bersenjata yang dikatakan seorang pegawai tempatan, telah membunuh sekurang-kurangnya 22 orang dan mencederakan ‘ramai lagi’ dalam penembakan besar-besaran di negeri Maine, Amerika Syarikat (AS), kejadian yang paling tragis tahun ini.

    Polis berkata Robert Card, yang dilihat dalam rakaman kamera pengawasan dengan senjata separa automatik yang dilengkapkan dengan klip panjang semasa dia memasuki gelanggang boling di bandar Lewiston, ‘perlu dianggap bersenjata dan berbahaya’.

    CNN melaporkan bahawa, Card adalah seorang pengajar senjata api yang bertauliah dan seorang anggota Tentera Simpanan AS, merujuk kepada sumber-sumber penguatkuasaan undang-undang.

    Ahli majlis bandar Lewiston, Robert McCarthy, memberitahu CNN bahawa pihak berkuasa ‘telah mengesahkan 22 orang terbunuh, ramai lagi yang cedera’, dengan media tempatan melaporkan penembakan berlaku di beberapa lokasi.

    Kawasan luas Lewiston telah dikepung, dengan perniagaan digesa untuk ditutup dan penduduk diarahkan untuk berlindung ditempat masing-masing apabila keganasan senjata api yang mengerikan sekali lagi melanda masyarakat AS.

    Pegawai keselamatan awam Maine, Mike Sauschuck, berkata bahawa beliau tidak bersedia untuk memberikan bilangan kematian, memanggilnya sebagai ‘situasi yang sentiasa berubah-ubah’. – AFP

    Pegawai penguat kuasa undang-undang membawa senapang di luar Pusat Perubatan Maine Tengah semasa situasi penembak aktif di Lewiston, Maine pada 25 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda