Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis, pekerja utiliti maut dirempuh trak

    WALTHAM, 7 DIS – Seorang pemandu trak pikap di pinggir bandar Boston didakwa telah merempuh dan mengorbankan seorang pegawai polis dan seorang pekerja utiliti di tapak kerja, kemudian mengeluarkan pisau dan menghunusnya ke arah pegawai lain sebelum mencuri keretanya dan terbabas, kata pegawai penguatkuasa undang-undang.

    Dua pekerja utiliti lain cedera dalam nahas awal petang kelmarin di Waltham, kira-kira 16 kilometer ke barat Boston, dan ‘beberapa kenderaan lain’ turut dilanggar oleh trak itu sebelum ia ditinggalkan, kata Peguam Daerah Middlesex, Marian Ryan dalam satu kenyataan akhbar.

    “Jelas sekali apa yang berlaku adalah tragedi yang tidak dapat dibayangkan,” kata Ryan dalam satu sidang media.

    “Kedua-dua lelaki ini sedang menjalankan tugas mereka pada pukul 4 petang apabila mereka dibunuh dan kemalangan seperti ini berlaku terlalu kerap,” jelasnya.

    Selepas kereta itu terbabas, polis berkata mereka menahan pemandu itu selepas berjaya mengejarnya.

    Polis penyiasat tiba di tempat kejadian di Waltham, Massachusetts, selepas suspek dalam kenderaan melanggar dan mencederakan pekerja utiliti sebelum mencuri kereta polis pada 6 Disember. – AP

    Seorang lelaki berusia 54 tahun dari Woodsville, New Hampshire, didakwa atas dua pertuduhan membunuh dan rompakan bersenjata dan dijangka dihadapkan ke mahkamah hari ini, kata Ryan.

    Peristiwa itu berlaku selepas pemandu tersebut cuba membuat pusingan U, merempuh sebuah kenderaan.

    Trak itu terus berjgerak kira-kira beberapa batu sebelum Pegawai polis Waltham, Paul Tracey, 58 dan seorang pekerja National Grid berusia 36 tahun dilanggar.

    Tracey sedang menjalankan tugas polis di tapak kerja utiliti, kata Ryan.

    Trak itu terus bergerak dan melanggar kenderaan lain sebelum pemandunya keluar dan melarikan diri, terserempak dengan seorang lagi pegawai Waltham yang bertindak balas terhadap kemalangan itu.

    Pemandu itu kemudian didakwa mengeluarkan pisau dan menghunusnya ke arah pegawai itu sebelum merampas keretanya dan memandu pergi, kata Ryan.

    Kereta polis itu kemudian terbabas dan pemandunya yang cuba melarikan diri berjaya ditahan selepas dikejar. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda