Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Punca bau busuk di Cape Town terungkai

    CAPE TOWN, 21 FEB – Pihak Berkuasa di Cape Town melancarkan siasatan Isnin lalu selepas bandar Afrika Selatan itu dicemari dengan bau busuk.

    Pegawai di bandar itu memeriksa kemudahan kumbahan untuk mengesan sebarang kebocoran dan pasukan kesihatan alam sekitar telah dikerahkan sebelum sumber bau ditemui: sebuah kapal berlabuh di pelabuhan membawa 19,000 lembu hidup dari Brazil ke Iraq.

    Zahid Badroodien, pegawai di pejabat Datuk Bandar yang bertanggungjawab terhadap air dan sanitasi, menyiarkan catatannya dalam X, yang sebelum ini Twitter, bahawa penyiasat telah mengesahkan sumber ‘bau kumbahan yang menyelubungi sebahagian bandar’ adalah dari kapal yang membawa haiwan ternakan.

    Kapal itu telah meninggalkan Cape Town pada malam semalam, sekali gus melegakan penduduk yang kurang senang dengan bau busuk itu.

    Tetapi kapal itu juga menjadi sasaran kritikan serius oleh kumpulan kebajikan haiwan.

    Majlis Persatuan Kebangsaan Afrika Selatan untuk Pencegahan Kekejaman terhadap haiwan menghantar perunding veterinar di atas kapal untuk menilai kebajikan haiwan, katanya, dan mendapati lembu mati, sakit dan cedera. Lapan ekor lembu telah dibunuh secara berperi-kemanusiaan, kata majlis itu. Ia tidak mengatakan berapa lembu yang mati.

    Majlis SPCA berkata ia sangat menentang eksport haiwan hidup melalui laut dan menggelar keadaan di atas kapal ‘menjijikkan’ kerana penumpukan air kencing dan najis lembu semasa perjalanan. Haiwan itu tidak mempunyai pilihan selain tidur dalam najisnya sendiri, katanya. – AP

    Kapal membawa haiwan ternakan yang telah mencemarkan bandar Cape Town dengan bau busuk ketika meninggalkan pelabuhan di bandar itu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda