Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ratusan Rohingya cuba larikan diri ke Malaysia ditangkap

    YANGON, 24 JAN – Lebih 110 orang Rohingya dari bahagian barat Myanmar yang dilanda perang telah ditangkap ketika cuba melarikan diri dari negara itu ke Malaysia, kata sumber keselamatan tempatan kepada AFP hari ini.

    Rohingya yang kebanyakannya beragama Islam dilihat sebagai pendatang dari Bangladesh di Myanmar. Mereka tidak diberikan kewarganegaraan dan memerlukan kebenaran untuk melakukan perjalanan.

    Seramai 59 lelaki dan 58 wanita telah ditangkap dari dua trak di perbandaran Thanbyuzayat di timur negeri Mon kelmarin, menurut sumber keselamatan tempatan, yang enggan didedahkan namanya kerana tidak dibenarkan bercakap kepada media. Sumber itu berkata kumpulan tersebut sedang dalam perjalanan ke Malaysia melalui Thailand.

    Menurut laporan awal, kumpulan itu melakukan perjalanan pertama dengan bot dari Sittwe dan Maungdaw di negeri Rakhine dan kemudian dibawa oleh penyeludup di Thanbyuzayat untuk perjalanan seterusnya ke Thailand sebelum ditinggalkan.

    Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pertempuran antara junta dan kumpulan bersenjata etnik Tentera Arakan (AA) telah mencetuskan kekacauan di sebahagian besar negeri Rakhine, menyebabkan puluhan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal.

    Sejak itu tentera telah menutup lebuh raya dan melarang perjalanan melalui laut di negera yang kaya dengan sungai itu.

    Pada 2017, tentera melancarkan tindakan keras terhadap Rohingya di Rakhine, memaksa ratusan ribu daripada minoriti yang dianiaya itu melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh. – AFP

    Pelarian Rohingya beratur untuk pemeriksaan kesihatan di pusat perlindungan sementara di bangunan kerajaan di Banda Aceh pada 11 Januari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda