Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rayuan Najib ditolak

    PUTRAJAYA, 24 NOV – Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghadiri prosiding saman AS$681 juta oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang difailkan terhadapnya dan beberapa individu lain.

    Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk P Ravinthran, Datuk Seri Mariana Yahya dan Datuk Lim Chong Fong memutuskan bahawa prosiding yang mahu dihadiri bekas perdana menteri itu terhad kepada pendengaran injunksi Mareva di Mahkamah Tinggi yang telah selesai pada 27 September lepas.

    Semasa menyampaikan keputusan mahkamah secara dalam talian, Ravinthran berkata perkara berkaitan injunksi Mareva kini menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

    Beliau berkata mahkamah bersetuju dengan peguam Siva Kumar Kanagasabai yang mewakili 1MDB dan empat anak syarikat, bahawa sebarang keputusan yang dibuat dalam rayuan ini akan bersifat akademik.

    “Tiada apa-apa yang menghalang perayu (Najib) untuk memfailkan permohonan lain (untuk beliau menghadiri perbicaraan rayuannya di Mahkamah Rayuan),” katanya ketika menolak rayuan Najib tanpa perintah kos.

    Mengenai beberapa pemerhatian yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi dalam penghakiman bertulisnya yang dibangkitkan perayu, Ravinthran berkata ia adalah pandangan mahkamah bahawa perkara itu boleh ditangani dalam permohonan masa depan di Mahkamah Rayuan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda