Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Seramai 12 orang cef tempatan Royal Brunei Culinary (RBC) yang meraih pencapaian cemerlang mewakili Negara Brunei Darussalam dan RBC di Culinaire Malaysia 2023 baru-baru ini, telah dirai pada majlis Media Reception and Appreciation Day yang berlangsung di Tingkat Satu, Bilik Mesyuarat RBC, Taman Perindustrian Lambak Kanan Barat, hari ini.
Pertandingan kulinari yang berprestij di Asia Tenggara itu telah berlangsung dari 19 hingga 22 September lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Haji Muhammad Hafiz Bin Haji Morsidi diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengurus Besar RBC, Haji Jeff Hadiman bin Dato Paduka Haji Danial.
Haji Jeff Hadiman antara-nya menjelaskan 12 orang cef berbakat telah dipilih melalui penghakiman dalaman pada Mac tahun ini yang mana mereka telah mencapai markah yang tinggi. Dalam tempoh lima bulan akan datang, mereka menjalani latihan intensif di bawah Cef Randy Jeffery selaku ketua pasukan, untuk memperhalusi menu, resipi dan teknik masakan mereka.
Tambahnya, di Culinaire Malaysia 2023, para cef RBC telah bertanding dalam beberapa kategori individu. Dua orang cef yang muncul sebagai pemenang pingat emas terdiri daripada Dayang Nurul Amal Ezzati binti Musa dalam kategori Hidangan Utama Masakan Barat Ikan Blue Cod / Makanan Laut; dan Dayang Nur Faezah binti Mohd Yusof di bawah kategori Warisan Malaysia.
Selain itu, empat orang cef lagi memperoleh pingat perak. Dayang Samliwati binti Awang Haji Damit dan Awang Mohamad Faizal bin Haji Mohamad bertanding dalam kategori Hidangan Utama Masakan Barat Ikan Blue Cod / Makanan Laut. Manakala Yaya anak Sigar dan Awang Mohamad Khairuddin Manap pula berentap dalam dua kategori Pembuka Selera dan Hidangan Utama Western Style Harvest Gourmet Plant Based Menu dan Warisan Malaysia.
Empat lagi cef memperoleh pingat gangsa, iaitu Awang Muhamad Hasdi bin Rahman dan Dayang Siti Zubaidah binti Mohidin dalam Hidangan Utama Daging/Ayam (Masakan Barat) sementara Dayang Erra Diyana binti Abdulahchek dan Awang Mohammad Yassin bin Haji Anuar turut diiktiraf atas kehebatan masakan mereka masing-masing dalam kategori Pembuka Selera dan Hidangan Utama Western Style Harvest Gourmet Plant Based Menu; dan Hidangan Utama Apprentice Blue Cod Fish (Masakan Barat).
Terdahulu beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada penaja yang dihargai dan mengucapkan tahniah kepada cef-cef atas pencapaian cemerlang mereka pada pertandingan tersebut.
Salah seorang cef tanah air termuda berusia 23 tahun yang menyertai pertandingan berkenaan, Awang Mohammad Yassin mengongsikan kepada Media Permata bahawa pertandingan pertamanya itu pasti membawa perasaan bercampur baur di mana tekanan dan rasa gugupnya tidak dapat dinafikan namun segalanya dapat diatasi dengan adanya sokongan dan nasihat yang diberikan oleh cef senior termasuklah ketua pasukan di mana mereka memiliki banyak pengalaman dan pengetahuan dalam pertandingan sedemikian.