Thursday, May 2, 2024
30.3 C
Brunei

    -

    Sapphat kongsi ilmu para cendekiawan

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar Muiz Matdani

    Ekspo dan Seminar Antarabangsa Produk dan Perkhidmatan Halalan Thayyiban (SAPPHAT) kali ke-6, dihasrat dapat menyumbang kepada perkembangan produk dan perkhidmatan khususnya dalam industri halal di negara ini melalui perkongsian ilmu daripada para cendekiawan.

    Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Pentadbiran, Jabatan Hal Ehwal Syariah dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB) menganjurkan seminar dan ekspo sempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2023 anjuran Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP).

    Pengarah Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban UNISSA, Pengiran Dr Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim dalam ucapan alu-aluannya antara lain mengongsikan, acara SAPPHAT kali ke-6 itu turut menarik minat organisasi luar negara yang beraffiliasi dengan negara-negara OIC.

    Tema bagi SAPPHAT ke-6 adalah ‘Memperkasa Kelestarian Halal melalui Maqasid Shariah’.

    Pemilihan tema seminar itu berdasarkan rasa komitmen penganjur majlis untuk turut bersama-sama menyumbang ke arah usaha kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam mempromosikan dan meningkatkan industri halal tempatan.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa melancarkan Pameran Kaligrafi dan Kesenian Islam.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyaksikan petak pameran semasa ekspo berkenaan.
    Ucaptama disampaikan oleh Profesor Madya Dato’ Dr Mohammad Izhar Ariff Mohammad Kashim semasa seminar berkenaan.
    Antara produk tempatan yang dijual semasa ekspo berkenaan.

    “Dengan adanya logo halal Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) berteraskan kepada matlamat atau Maqasid Syariah sesuai dengan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir,” jelasnya.

    Dengan adanya acara berteraskan ilmu seperti ini, ia diharap dapat membantu usaha kerajaan meningkatkan dan memperkukuhkan kesedaran tentang Halalan Thayyiban berlandaskan mengembang maju dan memperkasakan lagi produk dan perkhidmatan Halalan Thayyiban di Negara Brunei Darussalam khsusunya logo halal MUIB.

    Ia sekali gus dapat memenuhi aspirasi kerajaan untuk merealisasikan Wawasan Negara 2035, yang berlandaskan kepada ajaran hukum Syarak dan nilai- nilai Islam yang suci lagi murni khasnya bagi mencapai matlamat utamanya dalam menuju baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur.

    Pengisian seminar

    Dalam menjadikan seminar tersebut lebih menarik dan memberi kesan yang positif, ekspo dan perbincangan tersebut disertai badan-badan berautoriti halal khasnya dari negara-negara anggota MABIMS, Malaysia, Indonesia dan Singapura termasuk juga dari Negara Brunei Darussalam.

    Seminar itu juga dijangka dapat mempromosikan produk dan perkhidmatan Halalan Thayyiban dalam memperkasakan industri produk Halalan Thayyiban keluaran tempatan.

    Selain pembentangan ucaptama perdana, hampir 50 buah pembentangan yang berlangsung selama dua hari bermula kelmarin, ia juga akan membincangkan mengenai beberapa topik yang menjadi perhatian umum pada ketika ini.

    Kaligrafi

    Seminar turut diserikan dengan lebih 20 pameran kaligrafi dan kesenian Islam yang dijangka mampu menarik perhatian pengunjung yang didatangkan khas oleh Research Centre for Islamic History, Art and Culture (IRCICA) dari Republik Türkiye.

    Tarikan Pelancong

    Sebagai tarikan pelancong ke negara ini, para agensi pelancongan dengan sokongan KSSUP juga turut menyediakan peluang-peluang lawatan ke tempat-tempat menarik di Negara Brunei Darussalam seperti lawatan ke pusat penyembelihan, industri-industri makanan halal, Pusat Makmal Saintifik Ibnu Sina, UNISSA, river cruise di sekitar Kampong Ayer dan tempat yang menarik di negara ini.

    Salah satu jangkaan yang menjadi tumpuan utama lawatan di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi tempoh yang terhad itu adalah Bilik Mulia Baginda Rasulullah.

    Sesi lawatan pada hari kedua itu juga didahului dengan sesi tazkirah subuh yang disampaikan oleh Ra’es KUPUSB bertempat di Jame’ Asr Hassanil Bolkiah.

    Ekspo

    Seminar tersebut turut dimeriahkan dengan ekspo antarabangsa dengan menampilkan hampir 30 buah petak pameran.

    Ini juga termasuk jualan daripada pengusaha industri halal yang dijangka menarik lebih ramai pengunjung yang berlangsung selama tiga hari, bermula kelmarin hingga esok bertempat di Ruang Legar, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jalan Pengiran Babu Raja.

    Pengunjung pameran akan berpeluang meningkatkan pengetahuan mengenai isu-isu kontemporari halal, mengetahui peranan agensi-agensi kerajaan dan berautoriti dalam pensijilan Halal, serta berinteraksi dengan badan-badan pensijilan halal dari negara-negara serantau dan antarabangsa.

    Selain itu, ekspo ini juga menampilkan peniaga-peniaga produk yang mempunyai Sijil Halal dan Permit Halal, serta syarikat-syarikat Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang terlibat secara langsung dengan industri halal.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jeremiah Manele dipilih sebagai PM baharu Kepulauan Solomon

    HONIARA, 2 MEI - Menteri Luar Jeremiah Manele dipilih sebagai Perdana Menteri baharu Kepulauan Solomon oleh ahli Parlimen negara itu pada Khamis, umum Gabenor...