Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sasar 25 rumah ibadat hijau diwujudkan setiap tahun

    SEREMBAN, 23 FEB – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menyasarkan untuk melaksanakan 25 program Rumah Ibadat Hijau (RIH) di rumah ibadat seluruh negara setiap tahun, kata Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad.

    Beliau berkata ia bertujuan menjadikan rumah ibadat dalam negara sebagai pusat pemangkin kelestarian alam selain menjadi premis contoh amalan kecekapan tenaga, air dan lestari sekali gus memupuk budaya gaya hidup hijau dalam kalangan ahli kariah serta komuniti setempat.

    “Setakat ini kami sudah ada 12 RIH seluruh negara dengan 58 permohonan. Program RIH turut menekankan beberapa elemen termasuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik, air, pengurusan sistem lampu cekap tenaga dan sebagainya.

    “Kesedaran mengenai gaya hidup hijau daripada program ini akan mendidik kita tentang kepentingan untuk menjaga kelestarian alam sekitar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program penyerahan Sistem Panel Solar menerusi RIH di Masjid Jamek Dato’ Klana Petra Sendeng di sini hari ini.

    Beliau berkata di peringkat individu mahupun organisasi termasuk masjid, amalan gaya hidup hijau akan menjimatkan kos penggunaan utiliti dan menjana pendapatan sampingan menerusi program kitar semula seterusnya membantu kelancaran operasi. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda