Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Stadium Likas, Sabah pertama bakal guna sistem VAR sendiri

    KOTA KINABALU, 12 MEI – Sabah bakal menjadi negeri pertama mengguna pakai sistem Video Pembantu Pengadil (VAR) sendiri jenis sistem Goal Sport VAR untuk perlawanan Liga Malaysia di Stadium Likas setelah proses latihan, pengurusan dan teknikal diselesaikan selepas Jun ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam berkata perkara itu direalisasikan hasil kesediaan kerajaan Sabah melabur untuk pemasangan Sistem Goal Sport di Stadium Likas, bagaimanapun beliau tidak menyebut jumlah pelaburan tersebut.

    Beliau berkata pada masa ini Liga Malaysia mengguna pakai Sistem Keterlihatan Dipertingkat (EVS) mudah alih dengan empat trak mudah alih dalam perlawanan liga itu di Semenanjung dan perlawanan di Stadium Likas buat masa ini juga menggunakan sistem VAR jenis EVS.

    Katanya VAR yang disediakan di Stadium Likas adalah daripada sistem Goal Sport dibezakan dengan EVS berdasarkan teknologi tertentu dan Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA) secara dasarnya tidak mempunyai halangan untuk Liga Malaysia menggunakan dua sistem VAR berbeza.

    “Sistem (VAR) yang digunakan hari ini untuk (Liga Super) Sabah FC dan Penang FC di Stadium Likas adalah sistem yang dibawa dari Semenanjung iaitu EVS yang digunakan MFL ketika ini. Sistem Goal Sport di Stadium Likas kita guna selepas Jun nanti.

    “Dalam bulan 6, 9 dan 10 ketika FIFA window nanti kita boleh jalankan latihan pengadil untuk gunakan dua sistem ini selain adakan mesyuarat penyelarasan dan latihan lain sama ada di Sabah atau Kuala Lumpur. Timeline kita guna (sistem Goal Sport) dalam Liga Malaysia tahun ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pertemuan MFL dengan Lembaga Sukan Sabah hari ini. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda