Wednesday, October 30, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suns kejutkan Lakers

    LOS ANGELES, 29 OKT – Kevin Durant dan Devin Booker sama-sama menjaringkan 63 mata untuk membantu Phoenix Suns menyingkirkan LeBron James dan Los Angeles Lakers dalam kekalahan pertama mereka musim ini dalam aksi NBA, semalam.

    Booker mencatat 33 mata, manakala Durant menyumbang 30 mata untuk memberikan Suns kemenangan mendebarkan 109-105 di Footprint Center, Phoenix, sekali gus menebus kekalahan mereka 123-116 kepada Lakers di Los Angeles pada Jumaat lalu.

    Lakers tiba di Phoenix dengan penuh semangat selepas mencatatkan permulaan yang cemerlang 3-0 di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, JJ Redick.

    Pasukan tersebut kelihatan bersedia untuk meneruskan rentak kemenangan apabila memulakan perlawanan dengan mantap, mendahului 26-8 dalam suku pertama hasil 16 mata daripada Anthony Davis, yang berada dalam prestasi terbaik.

    Phoenix kembali dengan serangan untuk mendahului 50-48, sebelum Lakers merampas semula kelebihan dengan meraih 35 mata pada suku ketiga. Namun, Suns bangkit semula pada suku keempat, mengatasi Lakers 33-22 untuk mengesahkan kemenangan.

    Aksi Durant ketika melakukan lontaran pada separuh kedua perlawanan NBA di Footprint Center di Phoenix, Arizona, baru-baru ini. – AFP

    Davis memimpin Lakers dengan 29 mata, menambah 15 rebound dan tiga assist, sementara Austin Reaves menamatkan perlawanan dengan 23 mata.

    James, bagaimanapun, mengalami malam yang sukar dengan hanya mencatat 11 mata daripada percubaan lontaran 3-daripada-14.

    Jurulatih Suns, Mike Budenholzer memuji usaha pasukannya yang berjaya bangkit daripada defisit 18 mata awal.

    “Kekuatan mental, semangat dan persaingan yang ditunjukkan pemain kami benar-benar membanggakan,” kata Budenholzer.

    “Jika awda dapat menerima ‘asakan’ seperti itu pada suku pertama, dan kembali bangkit – kelebihan itu amat memberangkan,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda