HOUSTON, 3 MEI – Pegawai penguat kuasa undang-undang Texas menahan Francisco Oropeza, suspek yang melarikan diri selepas kejadian tembakan beramai-ramai pada malam Jumaat yang menyebabkan lima maut, termasuk seorang budak lelaki berusia sembilan tahun, lapor tca/dpa pada hari ini.
Maklumat yang diperoleh FBI pada 5:15 petang Selasa membawa pihak berkuasa ke rumah kakaknya di bandar Cut and Shoot, kira-kira 20 kilometer (km) dari tempat kejadian di komuniti luar bandar Cleveland.
Polis menemukan Oropeza bersembunyi di bawah timbunan pakaian dalam almari di rumah itu kira-kira 6 petang.
Oropeza, 38, ditempatkan sementara di penjara di Montgomery County sebelum dipindahkan ke kemudahan tahanan di kawasan San Jacinto County Cold Springs. Dia dihadapkan ke mahkamah majistret dan ditahan dengan jaminan AS$5 juta.
Menurut polis, Oropeza memasuki sebuah rumah di kawasan sunyi di pedalaman Texas pada petang Jumaat dan melepaskan tembakan ke arah mangsa.
Oropeza didakwa dengan lima pertuduhan membunuh tetapi jemaah juri boleh mengenakan pertuduhan yang lebih serius.
Anggota keluarga mangsa mempersoalkan kelewatan pihak berkuasa bertindak selepas mereka menghubungi 991 beberapa kali sebelum dan ketika tembakan bermula. – Bernama