Monday, October 7, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taiwan promosi pengalaman pelancongan unik

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Bersempena ucapan ‘Salam’, Pejabat Pentadbiran Pelancongan Taiwan KL kembali mempromosikan pelancongan ke Taiwan menerusi penyertaan dalam Pesta Pelancongan Sabre Brunei 2024 yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, kelmarin hingga hari ini.

    Dengan memperkenalkan jenama pelancongan Taiwan versi 3.0, Taiwan-Waves of Wonder, pejabat pentadbiran pelancongan berkenan mengalu-alukan para pelancong Brunei untuk memilih Taiwan sebagai destinasi pelancongan mereka yang akan datang.

    Kempen semasa acara berkenaan mengetengahkan persekitaran mesra Muslim Taiwan, trend perjalanan mesra alam dengan menampilkan Alishan Forest Railway di Chiayi dan keindahan Tanya Shen Greenway di Taichung sekali gus memberikan peluang kepada pelancong Brunei untuk menikmati pengalaman unik, Biking & Rail Traveling.

    Di samping itu, pihak pejabat pentadbiran pelancongan itu juga bekerjasama rapat dengan kawasan tarikan dan industri pelancongan untuk pasaran Brunei termasuk makanan dan minuman, hotel, bilik solat yang selesa di kawasan awam serta produk penjagaan kulit dan kosmetik diiktiraf halal.

    Selain itu, juga terdapat aplikasi Halal-TW dan Tour Taiwan yang memberikan kemudahan kepada pelawat Muslim untuk mencari kedai-kedai halal, waktu solat, masjid dan bilik solat serta juga maklumat tambahan iaitu penginapan dan pengangkutan.

    Pejabat pentadbiran pelancongan Taiwan mengalu-alukan para pelancong Brunei untuk memilih Taiwan sebagai destinasi pelancongan mereka. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Aplikasi Halal-TW menggunakan bahasa Inggeris, Indonesia dan Cina bagi memudahkan pelawat Muslim menikmati pengalaman pelancongan mereka di Taiwan.

    Pejabat Pentadbiran Pelancongan Taiwan KL telah mencatatkan ketibaan seramai 3,571 orang pelancong Brunei pada 2023. Sementara itu, berbanding ketibaan Januari hingga Jun 2023 dengan ketibaan tahun ini, ketibaan pelancong Brunei mencatatkan peningkatan 40.86 peratus dengan 16.71 peratus bagi tujuan percutian dan riadah.

    Pengarah Pejabat Pentadbiran Pelancongan Taiwan KL, Abe Chou dalam temu bual ringkas bersama Media Permata menyatakan harapan untuk terus mengalu-alukan pelawat Muslim dari Brunei ke Taiwan khususnya mereka yang melawat buat kali pertama.

    Bagi pelawat yang pernah berkunjung ke Taiwan, beliau mempelawa mereka melawat ke kawasan-kawasan menarik di sekitar Taiwan yang menawarkan bukan sahaja pemandangan yang menarik tetapi juga pengalaman yang sukar dilupai.

    Beliau juga menyatakan komitmen mereka untuk menjadi sebuah hab halal dan usaha sama menjadi sebuah destinasi pilihan dalam kalangan pelawat Muslim dengan terus meningkatkan kemudahan mereka bagi memenuhi keperluan pelawat-pelawat Muslim.

    Di samping itu, trend yang disaksikan mengenai pelawat Muslim muda mendapati bahawa mereka lebih cenderung berkunjung ke destinasi yang menawarkan pengalaman keseluruhan yang terbaik iaitu kawasan membeli-belah, taman tema, aktiviti luar yang menarik serta pemandangan yang indah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda