Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Talim lemah, landa Vietnam

    HANOI, 18 JULAI – Taufan Talim mendarat di Vietnam hari ini selepas melalui China, dalam keadaan sedikit melemah berbanding jangkaan yang taufan itu akan bertambah kuat, namun tiada kematian dilaporkan di ke-dua-dua negara meskipun hampir 260,000 orang dipindahkan sebelum taufan melanda.

    Talim kali pertama mendarat di selatan China lewat malam kelmarin, menghentam pesisir pantai wilayah Guangdong dengan angin maksimum 136.8 kilometer sejam (kmsj).

    Menjelang hari ini, ia melemah menjadi taufan tropika ketika ia secara perlahan bergerak ke pulau Bach Long Vi di Vietnam, sebelum mara ke wilayah Guangxi, China.

    Taufan itu melepasi Bach Long Vi, sebuah pulau di timur ibu negara Hanoi, dengan ‘angin maksimum kira-kira 60kmsj,’ kata biro cuaca kebangsaan hari ini. Pihak berkuasa menarik balik arahan pengosongan di bandar pelabuhan utara Hai Phong, sehari selepas 30,000 orang dipindahkan dari sana dan wilayah Quang Ninh.

    “Aktiviti orang ramai telah kembali normal di bandar,” lapor akhbar kerajaan, Thanh Nien.

    Pesawat kelihatan di tarmak Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Hanoi yang ditutup sementara akibat Taufan Talim yang mendarat di Vietnam selepas China. – AFP

    Namun lapangan terbang terbesar Vietnam di Hanoi tutup hari ini, menjejaskan ratusan penerbangan, menurut laporan media tempatan.

    Pihak berkuasa memberi amaran hujan lebat, banjir dan tanah runtuh masih berisiko di wilayah utara selepas taufan itu berlalu.

    Agensi berita Xinhua, China melaporkan bahawa hampir 230,000 orang dipindahkan dari kediaman mereka di Guangdong sebelum taufan itu melanda.

    Peramal kaji cuaca mengatakan angin kencang dan hujan lebat akan melanda Guangxi sehingga Rabu, mengeluarkan amaran kemungkinan tanah runtuh ketika pihak berkuasa menutup sekolah dan menggantung puluhan perkhidmatan kereta api.

    Sementara itu, jiran Vietnam, Laos juga menjangkakan hujan lebat dan angin kencang menghampirinya hari ini ketika Talim bergerak ke barat, lapor Xinhua. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda