Saturday, May 11, 2024
31.6 C
Brunei

    -

    Teruja menyelam di Iceland

    THINGVELLIR, ICELAND – Di antara plat tektonik Amerika Utara dan Eurasia, rekahan Silfra di Iceland adalah salah satu tapak selaman paling terkenal di dunia, popular dengan pelancong yang menyelam di perairannya yang sejuk.

    Jarak penglihatan bawah air boleh melebihi 100 meter dan pemanda-ngan cahaya dan kegelapan memukau pelancong.

    “Apabila kami memasuki air, pemandangan sungguh menakjubkan,” ujar pelancong Iceland Brynjolfur Bragason sebelum berhenti sejenak.

    “Sukar dipercayai,” tambah isterinya Hildur Orradottir.

    Di tengah Taman Negara Thingvellir, terletak di pinggir salah sebuah tasik terbesar Iceland, koridor batu-batan tenggelam membentuk rongga dalam di antara kedua-dua benua, yang bergerak di antara satu sama lain dalam jarak kira-kira dua sentimeter setiap tahun.

    Pemandangan menunjukkan Silfra, dengan tapak selam di latar depan di Thingvellir, Iceland. – AFP
    Seorang pengajar memberikan arahan terakhir sebelum aktiviti snorkel bermula di Thingvellir, Iceland. – AFP

    Pantulan warna jingga bergabung dengan pelbagai warna biru kelihatan pada rekahan sedalam lebih 60 meter, di kawasan barat daya pulau Atlantik.

    Pasir warna kuning air dan alga hijau pendarfosfor menambah lagi keindahan warna semula jadi tersebut.

    “Ia kelihatan seperti rambut,” kata Camile Lund, seorang pelancong Perancis-Amerika.

    Rekahan dan seluruh lembah yang mengelilinginya terletak di Rabung Atlantik Tengah, yang merentasi pulau, menjadikannya salah satu kawasan gunung berapi paling aktif di Bumi.

    Silfra terbentuk oleh gempa bumi lebih daripada dua abad lalu hasil daripada pergerakan tektonik, dan perairan jernih datang daripada glasier Langjokull berhampiran, glasier ais kedua terbesar di negara itu.

    Air bergerak selama beberapa dekad menerusi terowong akuifer bawah tanah sepanjang kira-kira 50 meter.

    “Seluruh sistem penapisan ini melalui batu-batan gunung berapi dan memberikan kami air yang amat jernih,” beritahu Thomas Gov, pengajar penyelaman dari Toulouse di selatan Perancis, kepada AFP.

    Menyelam di Silfra memerlukan banyak persediaan: baju kering, sarung tangan selam, topi renang, gogal, snorkel dan sirip.

    Peralatan itu membenarkan awda sentiasa kering dan terapung dengan tenang di permukaan air yang suhunya kekal di antara dua dan tiga darjah Celsius sepanjang tahun.

    Hanya sebahagian daripada wajah dan tangan yang terdedah kepada air sejuk dingin.

    “Awda dapat merasa kedinginan di bibir awda dengan serta-merta: ia akan jadi kebas selepas seketika dan ia terasa berdenyut-denyut,” kata pelancong New York Ian Zavathi, 13, berdiri bersebelahan bapanya.

    Aktiviti snorkel pula merupakan kegiatan paling popular, namun mereka yang lebih berpengalaman dan bertauliah boleh menyelam bersama tangki skuba ke paras sedalam 18 meter. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bekas PM Fiji dipenjara salah guna kuasa

    SUVA, FIJI, 10 MEI - Bekas Perdana Menteri Fiji, Frank Bainimarama, dijatuhi hukuman penjara selama setahun hari ini atas kesalahan menghalang proses keadilan selepas...