Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Penerbangan pertama Kontinjen Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 untuk misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) yang terdiri daripada 220 orang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tiga anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) berlepas, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, menyatakan hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Pertahanan Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin yang menyempurnakan Upacara Pemakaian Beret PBB bagi anggota Kontinjen MALBATT 850-12.
Juga hadir ialah Penasihat Pertahanan Brunei Darussalam ke Malaysia, Leftenan Kolonel Rudie Asmawi bin Haji Abidin, pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia dan ahli keluarga kontinjen.
Kontinjen ABDB MALBATT 850-12 selebihnya akan berlepas pada tiga tarikh yang disusun secara berasingan.
Penerbangan kedua akan membawa empat anggota dijadualkan berlepas pada hari 10 November, manakala penerbangan seterusnya yang membawa sembilan anggota dijadualkan berlepas pada 14 November.
Seterusnya, penerbangan terakhir akan membawa 14 anggota dijadualkan berlepas pada 18 November.
Kontinjen MALBATT 850-11 juga akan membuat penerbangan pulang dari Lubnan ke Malaysia sejurus setibanya setiap penerbangan MALBATT 850-12 di Lubnan.
Proses Pemindahan Kuasa (TOA) antara kedua-dua kontinjen akan diadakan pada 16 November di Kem Marakah, Lubnan.