Saturday, May 18, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Tiga syarikat serah zakat berjumlah lebih $4 juta

    Oleh Yusrin Junaidi & Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Zakat Wang Simpanan dari tiga buah syarikat iaitu Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (Perbadanan TAIB), Syarikat Al-Bukhari Sdn Bhd, dan Koperasi Persatuan Tiba (KOTIBA) diadakan pagi tadi di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

    Kesemua wang zakat tersebut diserahkan kepada Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Menurut kenyataan, Perbadanan TAIB telah menyerahkan zakat wang simpanan pelanggan berjumlah $4,139,431.89, yang diserahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Zakat wang simpanan yang diserahkan adalah hasil kutipan Perbadanan TAIB selaku amil yang dilantik oleh MUIB yang diterima daripada 4,047 akaun para penyimpan Perbadanan TAIB sepanjang bulan Januari hingga Disember 2023.

    Seterusnya, Syarikat Al-Bukhari Sdn Bhd menyerahkan zakat perniagaan berjumlah $25,700 yang diserahkan oleh Penolong Pengurus Syarikat Al-Bukhari Sdn Bhd, Taimour Alam.

    Manakala, KOTIBA menyerahkan Zakat Perniagaan berjumlah $56,977.13 oleh Pengerusi Lembaga Pengarah KOTIBA, Haji Matassan bin Haji Bungso.

    Turut hadir bagi menyaksikan penyerahan wang zakat tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Naib Yang Di-Pertua MUIB, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Pemangku Setiausaha MUIB, Haji Hamzah bin Haji Sabtu; dan Pemangku Pengarah Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal, KHEU, Pengiran Dr Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit.

    Kesemua penyerahan zakat berkenaan diadakan dalam dua sesi iaitu pagi dan petang, yang mana majlis penyerahan daripada Syarikat Al-Bukhari Sdn Bhd dan KOTIBA telah diadakan pada sebelah pagi. Manakala penyerahan daripada Perbadanan TAIB diadakan pada sebelah petang.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa menyerahkan zakat wang simpanan kepada Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Xi, Putin hadir rasmikan Tahun Budaya China-Rusia

    BEIJING, 17 MEI - Upacara perasmian Tahun Budaya China-Rusia dan konsert khas bagi meraikan ulang tahun ke-75 ikatan diplomatik kedua-dua negara berlangsung di Beijing...