Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tujuh kumpulan pecah rumah ditumpaskan

    KOTA KINABALU, 20 OKT – Polis percaya berjaya menumpaskan tujuh kumpulan yang aktif dalam kegiatan pecah rumah di beberapa daerah negeri ini melibatkan kerugian berjumlah RM1.2 juta menerusi operasi Black Shadow sejak Julai lepas.

    Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata operasi turut menahan 64 individu termasuk tiga wanita terdiri daripada 51 warga tempatan dan 13 warga asing berusia antara 22 hingga 45 tahun bagi membantu siasatan.

    Beliau berkata operasi dijalankan selepas pihaknya menerima laporan 84 kes berkaitan kejadian pecah rumah antaranya di bandar raya ini, Penampang, Ranau dan Sandakan selain peningkatan kes pecah rumah di negeri itu.

    “Kumpulan ini menyasarkan rumah mewah yang tiada penghuni ketika itu dan peti besi menyimpan wang tunai serta barangan berharga. Kumpulan ini tidak bertindak agresif sebaliknya hanya sasarkan rumah tidak berpenghuni.

    “Hasil soal siasat, mereka mengaku terlibat dengan kegiatan pecah rumah itu dan kita percaya masih ada saki baki kumpulan ini yang kita akan buru,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

    Jauteh berkata siasatan lanjut mendapati kumpulan itu hanya aktif di sekitar Sabah dan tidak menolak kemungkinan anggota kumpulan itu mempunyai hubungan atau mengenali antara satu sama lain.

    Beliau berkata ada dalam kalangan individu yang dita-han didapati mempunyai rekod jenayah terhadap dadah manakala kes sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda