Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Turkiye berkabung atas kematian 53,000 korban gempa bumi

    ISTANBUL, 6 FEB – Jutaan rakyat di seluruh Turkiye hari ini berkabung atas kehilangan lebih 53,000 rakan, orang tersayang dan jiran dalam bencana gempa bumi di negara itu setahun lalu.

    Bagi menandakan ‘bencana abad Ini’, kerajaan telah mengatur satu siri acara untuk memperingati ulang tahun satu tahun bencana di selatan Turkiye.

    Di Antakya, ibu kota wilayah selatan Hatay, orang ramai yang marah berasak-asak dengan polis semasa pegawai dibawa ke majlis itu.

    Datuk Bandar, Lutfu Savas disambut dengan jeritan yang menuntut beliau meletakkan jawatan, manakala Menteri Kesihatan, Fahrettin Koca diperli dan dicemuh ketika memberikan ucapan.

    Di tengah-tengah kabus di Sungai Orontes, orang ramai melaungkan, “Adakah sesiapa yang mendengar saya?” – meniru suara mereka yang tertimbus di bawah runtuhan setahun yang lalu – dan “Kami tidak akan lupa, kami tidak akan memaafkan.”

    “Sesetengah daripada kami telah ditanam hidup-hidup,” kata Mustafa Bahadirli, 24 tahun di Antakya. “Kami memanggil kerajaan kami ‘bapa’ tetapi kerajaan meninggalkan kami tanpa bapa. Kami ditinggalkan selama beberapa hari dan masih ditinggalkan,” ujarnya.

    Sebnem Yesil, 22, mengkritik kedua-dua ahli politik kerajaan dan pembangkang seperti Datuk Bandar Savas.

    “Saya fikir mereka kurang ajar,” katanya. “Sudah setahun, mereka tidak pernah datang dan kini mereka berada di sini untuk satu majlis …. Awda tidak mendengar suara kami, awda tidak membantu, sekurang-kurangnya biarkan kami bersedih,” katanya.

    Selepas satu minit bertafakur pada pukul 4:17 pagi untuk menandakan masa gempa berlaku, bunga teluki dilemparkan ke sungai sebagai tanda ingatan dan orkestra tempatan memainkan lagu untuk menghormati mangsa. – AP

    Orang ramai melawat kubur mangsa gempa yang dikebumikan di Antakya, selatan Turkiye, pada 6 Februari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda