Friday, May 17, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    UAE dilanda hujan lebat lagi

    DUBAI, 2 MEI – Banyak sekolah dan pejabat di seluruh Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini terpaksa ditutup selepas hujan lebat kembali melanda negara itu, hanya dua minggu selepas mencatatkan hujan paling lebat di mana pakar mengaitkannya dengan perubahan iklim.

    Ribut petir dengan angin kencang melanda negara yang kaya dengan minyak semalaman, dengan lebih 50 milimeter (dua inci) hujan turun sebelum 8 pagi di beberapa kawasan, kata Pusat Meteorologi Kebangsaan.

    Banjir dilihat di beberapa kawasan hab kewangan Dubai, dan lapangan terbang bandar itu, yang paling sibuk di dunia berdasarkan trafik penumpang antarabangsa, 13 penerbangan dibatalkan dan lima lagi dilencongkan, kata seorang jurucakap.

    Syarikat penerbangan milik negara, Emirates yang berpangkalan di Dubai dan syarikat penerbangan flydubai kedua-duanya memberi amaran kepada penumpang tentang kelewatan, tatkala sekolah beralih kepada pembelajaran dalam talian dan pejabat sektor awam ditutup.

    Namun hujan tidak seperti yang dicatat pada skala 16 April, apabila rekod 259.5 mm hujan menyebabkan empat orang maut, menyekat jalan utama selama beberapa hari dan memaksa pembatalan lebih 2,000 penerbangan.

    Hari ini, tidak banyak lalu lintas dilihat di lebuh raya enam lorong di Dubai yang biasanya sibuk, dan kereta terbiar di jalan yang ditenggelami air berhampiran pusat beli-belah Ibn Battuta.

    Lori yang mengepam air ditempatkan di beberapa kawasan banjir, kerana saliran Dubai sering tidak dapat menampung hujan berskala besar.

    Hujan lebat bulan lalu, yang turut mengorbankan 21 orang di negara jiran Oman, adalah yang paling lebat di UAE sejak rekod bermula pada 1949.

    Atribusi Cuaca Dunia, rangkaian saintis yang menilai peranan perubahan iklim dalam kejadian cuaca ekstrem, mendapati banjir itu ‘kemungkinan besar’ diburukkan lagi oleh pemanasan global yang disebabkan oleh pembakaran bahan api fosil. – AFP

    Sebuah kereta kelihatan di jalan raya dibanjiri di Dubai kelmarin, ketika hujan lebat kembali ke UAE dua minggu selepas hujan lebat yang dikaitkan dengan perubahan iklim. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Adik perempuan Kim nafi Korea Utara telah membekalkan senjata kepada Rusia

    PYONGYANG, 17 MEI - Adik perempuan berpengaruh pemimpin Korea Utara Kim Jong Un sekali lagi menafikan hari ini bahawa negaranya telah mengeksport sebarang senjata...