Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ukraine mula bina reaktor nuklear rekaan AS

    NETISHYN, 14 APRIL – Ukraine telah mula membina dua reaktor yang direka oleh Amerika Syarikat (AS) di loji tenaga nuklear di barat negara itu selepas serangan Rusia yang memusnahkan rangkaian tenaganya.

    Pekerja di stesen jana kuasa nuklear Khmelnytskyi pada Khamis lalu menuang satu meter padu konkrit simbolik untuk reaktor, yang akan menggunakan teknologi dan bahan api AS, ketika bendera Ukraine dan AS berkibar.

    Projek itu bertujuan untuk meningkatkan keselamatan tenaga Ukraine dan mengurangkan kebergantungannya terhadap teknologi nuklear Rusia.

    Tetamu di majlis itu termasuk ketua pengendali nuklear negara Ukraine, Energoatom, Petro Kotin; Menteri Tenaga Ukraine, German Galushchenko; Duta Besar AS ke Ukraine, Bridget Brink dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tenaga nuklear AS Westinghouse, Patrick Fragman.

    Energoatom meminta pelancaran tersebut dilaporkan kelmarin kerana kebimbangan keselamatan terhadap serangan Rusia.

    Majlis itu berlangsung beberapa jam selepas serangan Rusia memusnahkan loji kuasa di luar Kyiv.

    “Ini adalah jawapan kami kepada pengganas, ini adalah jawapan kami kepada penceroboh,” kata Galushchenko.

    “Hari ini kita bercakap tentang masa depan, kita bercakap tentang kestabilan, kita bercakap tentang pembangunan tenaga nuklear,” katanya sambil menyifatkan rancangan untuk Khmelnytskyi sebagai projek pemodenan paling penting di Ukraine sejak Perang Dunia Kedua. – AFP

    Pekerja berdiri di sebelah sepanduk semasa majlis pelancaran pelaksanaan aktiviti persediaan sebelum pembinaan unit kuasa 5, 6 menggunakan teknologi American Westinghouse di Loji Kuasa Nuklear Khmelnytsky (KhNPP) berhampiran bandar Khmelnytsky, Ukraine pada 11 April lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda