Friday, November 8, 2024
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ulang Tahun ke-75 Pengasasan Republik Rakyat China diraikan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Bersempena Ulang Tahun ke-75 Pengasasan Republik Rakyat China, Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Brunei telah mengadakan majlis resepsi yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun Gadong, kelmarin.

    Hadir bagi mewakili kerajaan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dan TYT Xiao Jiangou dalam majlis berkenaan.

    Majlis resepsi menyambut ketibaan Yang Berhormat Dato Haji Ahmaddin dengan persembahan tarian naga sebelum diteruskan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua buah negara yang diikuti dengan ucapan alu-aluan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jiangou.

    Dalam ucapannya, TYT Xiao Jiangou berkata tahun ini menandakan ulang tahun ke-40 hubungan Brunei dan China di mana kedua belah pihak telah menikmati hubungan politik yang erat, pertukaran dan kerjasama yang produktif dalam pelbagai bidang, serta penyelarasan yang rapat dalam hal-hal serantau dan antarabangsa, yang bukan sahaja memberikan manfaat kepada kedua-dua negara, tetapi juga menyumbang kepada keamanan, pembangunan, dan kestabilan serantau.

    Dengan penyelarasan Inisiatif Wawasan Brunei 2035, perdagangan dua hala telah mencapai AS$1.53 bilion pada separuh pertama tahun ini, menandakan peningkatan 27.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

    Fasa kedua projek petrokimia Hengyi pula sedang berjalan dengan baik, projek pengembangan terminal kontena pelabuhan Muara telah berjaya dilancarkan, percubaan penanaman padi hibrid menghasilkan hasil yang melimpah, protokol mengenai produk akuatik Brunei kepada China telah ditandatangani dan kini dilaksanakan dengan lebih 300 tan udang galah dan tuna telah dieksport ke China.

    Seterusnya, kerjasama Belt and Road telah membawa lebih banyak manfaat kepada kedua-dua buah negara serta membawa kesejahteraan kepada rakyat. Terdahulu, Ekspo China-ASEAN ke-21 telah sempurna dilancarkan di Guangxi, China, di mana penyertaan negara-negara ASEAN termasuk Brunei dalam acara tahunan berkenaan yang menunjukkan kerjasama tahap tinggi antara China-Brunei dan China-ASEAN.

    TYT Xiao Jiangou semasa menyampaikan ucapan.

    TYT Xiao Jiangou turut menekankan mengenai jalinan persahabatan erat antara kedua-dua yang terjalin sejak dari dahulu lagi ditambah lagi dengan kebijaksanaan pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke negara tahun lalu.

    Majlis berkenaan diteruskan dengan upacara memotong kek ulang tahun ke-75 pengasasan Republik Rakyat China yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Haji Ahmaddin dan TYT Xiao Jiangou.

    Upacara memotong kek ulang tahun yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Haji Ahmaddin dan TYT Xiao Jiangou.

    Selain itu, majlis turut diserikan dengan beberapa persembahan kebudayaan China, serta seni bela diri wushu yang memukau para tetamu dan jemputan yang hadir.

    Gambar ramai Yang Berhormat Dato Haji Ahmaddin dan TYT Xiao Jiangou bersama sebahagian yang hadir.

     Antara persembahan pada majlis berkenaan.

    Antara yang hadir di majlis berkenaan.
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda