Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ustaz Don tidak kecil hati kecaman warganet

    Pendakwah bebas Ustaz Don Daniyal tidak berkecil hati dengan kecaman yang diterima susulan kontroversi yang membabitkan dirinya berkenaan ceramah agama yang disampaikan dikatakan melanggar peraturan tauliah.

    Kata Don atau Don Daniyal Don Biyajid, 40, dia membaca setiap komen yang ditulis netizen di media sosial dan menganggap mereka tidak tahu perkara sebenar yang berlaku.

    “Saya baca semua komen di internet, tapi tak apa, sebab mereka (warganet) tidak tahu. Dalam Islam pena diangkat dalam tiga jenis orang, iaitu orang tak tahu menjadi tahu, orang yang lupa sampai dia ingat, orang yang tidur sampai terjaga. Dalam kata lain, warganet tak tahu apa yang berlaku. Tidak mengapa,” katanya kepada mStar.

    Don berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Majlis menandatangani kerjasama diantara Hive Deal Sdn. Bhd. bersama Agami Group Sdn. Bhd yang diadakan di Shah Alam, Selangor pada Selasa.

    Dalam pada itu, Don memohon agar orang ramai membuat pertimbangan sewajarnya dengan menyelidik terlebih dahulu maklumat sebelum memberikan komen tanpa usul periksa.

    “Dalam hidup, ada sesetengah perkara yang perlu kita lakukan perbandingan. Saya menyeru semua orang membuat perbandingan dengan akal fikiran waras dan cerdas. Ketika anda mencari maklumat tentang saya, carilah juga maklumat tentang pihak lain,” ujarnya.

    Ditanya mengenai beberapa program melibatkan dirinya yang terpaksa dihentikan kerana kontroversi berkenaan, Don menjelaskan tindakan itu dibuat atas keputusannya sendiri demi menjaga kepentingan semua pihak. Malah, dia memahami pihak yang berurusan dengannya itu perlu mengikut perintah yang telah diberikan oleh pihak berkuasa.

    “Semua yang bekerjasama dengan saya adalah orang yang berakhlak. Salah satu ciri akhlak yang baik ialah mentaati pemimpin. Jadi, apabila mereka mendapat arahan, mereka hanya ikut. Malah sebenarnya, saya sendiri yang menasihati mereka untuk menghentikan kolaborasi. Tidak mengapa, ini semua bukan penamat,” jelasnya.

    Tidak terkesan dengan apa yang berlaku, Don berkata dia sentiasa berfikir positif dan menganggap semua yang terjadi adalah satu ujian buat dirinya. Lebih membuatkan dia kuat apabila mendapat sokongan daripada keluarga dan sahabat.

    “Saya hidup seperti biasa, perjalanan seperti biasa. Kita tak boleh nak ubah situasi kerana bukan kita yang berkuasa, Allah lebih berkuasa walaupun kita nampak ada pihak tertentu, cuma takdir begitu. Kita tidak boleh mengubah perkara ini tetapi kita boleh tentukan bagaimana kita memberi reaksi kepada situasi ini. Alhamdulillah saya anggap ini adalah peluang untuk merancang dan mengatur semula pekerjaan saya. Semua perkara dalam hidup adalah ujian, ini bukan hukuman sepanjang hayat. Saya ada sokongan keluarga, rakan-rakan,” katanya.

    Pada 21 Jun lalu, tular notis Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang mengarahkan semua program ceramah dan kuliah membabitkan Don di seluruh Selangor ditangguhkan. Pendakwah bebas itu tidak dibenarkan memberikan ceramah dan kuliah agama di semua agensi dan institusi masjid, surau serta musolla di Selangor.

    Notis yang dikeluarkan itu juga memberitahu Don tidak boleh meneruskan program atau kuliah yang sudah mendapat persetujuan atau masih dalam perancangan. Ketetapan tersebut dibuat berikutan beberapa isu membabitkan ceramah agama yang disampaikan Don disyaki membawa kepada perlanggaran beberapa perkara dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

    Susulan itu, Don juga tidak lagi bersiaran untuk segmen Don Give Up yang merupakan salah satu pengisian dalam slot pagi Morning Morning Suria di stesen radio Suria FM. Wakil pengurusan Suria FM memberitahu pihak mereka hanya menghormati arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. – Agensi

    Don anggap segala yang terjadi sebagai satu ujian untuknya. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda