Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga emas kenali kanser kolorektal

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 12 FEB – Sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk melengkapkan warga emas dengan pengetahuan yang diperlukan untuk memastikan kesihatan mereka terpelihara, Pusat Promosi Kesihatan (HPC) telah menganjurkan Ceramah Mengenai Kanser Kolorektal di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kampung Pandan, kelmarin.

    Dihadiri oleh lebih 50 orang warga emas dari Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE), Kuala Belait, ceramah berkenaan dijalankan dengan kerjasama Pusat Kanser Brunei (TBCC) dan Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) bagi menyokong Hari Kanser Sedunia.

    Ia bertujuan untuk membantu meningkatkan kesedaran tentang pelbagai isu kesihatan serta perkhidmatan kesihatan yang terdapat di negara ini, terutamanya yang berkaitan dengan kanser kolorektal.

    Beberapa topik yang disentuh termasuk fakta berkaitan kanser kolorektal, serta cara mengurangkan dan mencegahnya daripada perspektif fizikal dan mental sebagai sebahagian daripada menjalani gaya hidup sihat.

    Selain itu, petak-petak juga disediakan untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan, dan mengedarkan risalah untuk lebih mudah membolehkan warga emas yang mengambil bahagian berkongsi ilmu yang diperoleh dengan rakan dan keluarga mereka.

    Sebelum ini, HPC turut mengadakan ceramah yang sama mengenai demensia pada akhir tahun lepas bagi warga emas di daerah ini dan berharap ceramah serta aktiviti seumpamanya dapat membantu memudahkan akses kepada mereka untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pelbagai isu kesihatan.

    HPC juga berharap untuk menggalakkan penyertaan bukan sahaja daripada warga emas tetapi juga daripada penjaga dan ahli keluarga bagi memastikan warga emas, serta mereka yang rapat dengan mereka, dapat bertindak balas dengan betul terhadap isu-isu kesihatan yang berpotensi boleh timbul.

    Dengan lebih banyak ceramah dan acara yang dirancang untuk diadakan pada masa hadapan di seluruh negara, maklumat tambahan mengenai aktiviti akan datang yang dijalankan oleh HPC boleh diperolehi melalui saluran media sosial @hpcbrunei.

    Salah seorang pengunjung melawat petak HPC di Perpustakaan DBP, Kampung Pandan.
    Warga emas semasa mendengar ceramah kanser kolorektal.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda