Monday, September 16, 2024
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    1,184 unit alat sukat dan timbang diperiksa

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Sebanyak 1,184 unit alat sukat dan timbang daripada 5 buah syarikat pembekal yang berdaftar dengan Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) telah melalui pemeriksaan, pengujian bacaan ketepatan dan pencapan pembekal oleh pegawai Unit SDT pada Mei 2024.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, pada Mei 2024, Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) melalui Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah melaksanakan pemeriksaan, pengujian bacaan ketepatan dan pencapan pembekal ke atas syarikat-syarikat pembekal alat sukat dan timbang yang berdaftar dengan SDT.

    Inisiatif itu dilaksanakan oleh SDT ke atas syarikat-syarikat pembekal yang menjual alat sukat dan timbangan sebanyak 10 unit ke atas yang mana ia dikendalikan di premis perniagaan atau gudang atau mana-mana bangunan perniagaan milik syarikat pembekal.

    Kenyataan menyatakan bahawa pegawai Unit SDT telah mengadakan pemeriksaan, pengujian bacaan ketepatan dan pencapan pembekal pada 1 Mei ke atas 52 unit, 11 Mei ke atas 28 unit, 20 Mei ke atas 119 unit, 21 Mei ke atas 155 unit dan 22 Mei ke atas 830 unit.

    Pemeriksaan, pengujian bacaan ketepatan dan pencapan pembekal dilaksanakan untuk memastikan alat sukat dan timbang adalah sah, tepat dan berfungsi dengan baik sebelum ia dipamerkan, dipasarkan atau dijual kepada pelanggan atau pembeli.

    Ia adalah selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151, Peraturan-Peraturan (Penelitian) 1994, Bab 3 (1) dan (2) yang mengkehendaki mana-mana alat sukat dan timbang yang digunakan dalam apa jua bentuk aktiviti yang melibatkan perniagaan hendaklah dibuat penelitian.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi SDT melalui e-mel, sdt@mofe.gov.bn atau talian, 2334092.

    Pegawai Unit SDT semasa mengadakan pemeriksaan, pengujian bacaan ketepatan dan pencapan pembekal. – Gambar serahan SDT
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda