Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JKED
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Seramai 23 orang telah ditahan dalam gerakan operasi bersepadu yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bersama salah sebuah agensi penguatkuasaan di negara ini di dua lokasi di kawasan Serasa, Muara pada 25 Mac lalu.
Menurut kenyataan JKED, hari ini, hasil daripada operasi itu, JKED berjaya menahan 13 lelaki tempatan dan 10 warga asing berumur 25 hingga 48 tahun yang didapati terlibat dalam kegiatan percubaan menyeludup minyak bersubsidi ke negara jiran.
Barang-barang yang ditahan ialah minyak diesel melebihi 41,000 liter, kapal tunda dari negara jiran serta sebuah lori yang digunakan untuk membawa tangki yang mengandungi minyak.
Kesemua barang terbabit telah dirampas dan individu yang terlibat dibawa ke pejabat penguatkuasaan undang-undang untuk siasatan lanjut.
JKED menyatakan, bagi mana-mana orang yang terlibat, jika didapati bersalah pada kesalahan pertama akan didenda tidak kurang daripada $10,000 dan tidak melebihi $500,000 serta penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Seterusnya bagi kesalahan kedua atau lebih, denda tidak kurang $20,000 dan tidak melebihi $500,000 serta penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Jabatan itu menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi mana-mana perundangan negara ini dan menghindari daripada melakukan kegiatan-kegiatan penyeludupan atau membawa masuk dan keluar barang-barang tegahan, sekatan dan juga larangan kastam.
JKED turut mengalu-alukan orang ramai untuk mengongsi maklumat berkaitan apa jua kegiatan penyeludupan barang-barang tegahan kastam atau menyalahi perundangan kastam dengan menghubungi talian JKED, 8714422 atau 8721422 atau pejabat kastam berdekatan.
