Monday, December 2, 2024
32.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Acara jualan 11.11 China ditamatkan

    BEIJING, 11 NOV — China menamatkan acara belanja tahunan terbesar negara, Single Day 11.11 hari ini, di mana penganalisis serta pelabur memantau perkembangan ekonomi negara itu susulan langkah-langkah pemulihan yang diperkenalkan oleh Beijing.

    Dilancarkan oleh gergasi teknologi Alibaba pada 2009, Single Day kini menjadi acara runcit tahunan yang menarik pelanggan dengan tawaran harga rendah di pelbagai platform belanja dalam talian. Nama Single Day berasal daripada tarikh 11 November, yang menggambarkan perayaan individu berstatus bujang – kini menjadi pemacu utama jualan Alibaba dan pesaing utamanya, JD.com.

    Namun, buat kali kedua berturut-turut, kedua-dua syarikat itu tidak mengeluarkan angka jualan terperinci bagi tempoh tersebut. Alibaba hanya memaklumkan bahawa pertumbuhan jualan dicatatkan sepanjang acara itu berlangsung.

    Penggunaan domestik yang masih lemah kini menjadi cabaran utama bagi pembuat dasar di China, yang terus berusaha mencapai pemulihan ekonomi penuh pasca-pandemik. Dalam beberapa minggu kebelakangan, Beijing telah melancarkan beberapa langkah fiskal paling agresif dalam beberapa tahun, termasuk pemotongan kadar utama dan peningkatan had hutang kerajaan tempatan.

    Walau bagaimanapun, ramai penganalisis berpendapat, tanpa rangsangan fiskal yang lebih besar untuk merangsang perbelanjaan pengguna, adalah sukar untuk China kembali ke tahap pertumbuhan kukuh seperti sebelum pandemik.

    Acara Single Day tahun ini dianggap sebagai petunjuk penting bagi firma runcit utama di China, dengan penganalisis menjangkakan impak positif dari langkah-langkah kerajaan baru-baru ini. Dalam kenyataan minggu lalu, kumpulan perbankan ING menjangkakan “angka pertumbuhan yang kukuh” sepanjang tempoh jualan ini, yang menurutnya “seharusnya melebihi momentum pertumbuhan keseluruhan penggunaan.”

    Data rasmi turut menunjukkan bahawa kenaikan harga pengguna di China meningkat pada kadar lebih perlahan pada Oktober, mencerminkan permintaan pengguna yang kurang. – AFP

    Paparan skrin menunjukkan jumlah jualan kasar, iaitu ukuran jumlah jualan, mencecah kira-kira AS$1,429,510,821 dalam masa hanya 1 minit 36 saat sempena acara jualan Single Day di Hangzhou, Zhejiang, China pada 11 November 2019. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda