Monday, September 23, 2024
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    AFSA bantu kembang luas perusahaan RS

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Dalam usaha untuk menyediakan suasana kondusif bagi pelaksanaan perusahaan Rakan Seliaan (RS), Persatuan Aftercare Support Association (AFSA) menandatangani Perjanjian Kerjasama dengan AE Jaya Enterprise, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan perjanjian berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Daud bin Jihan.

    Turut hadir ialah Yang Dipertua AFSA, Hajah Juhana binti Haji Mohd Jaya, Timbalan Ketua Pusat Reintegrasi, Ketua Kampung Mentiri, Jawatankuasa AFSA, RS serta para jemputan khas.

    Pada majlis itu, menandatangani perjanjian bagi pihak AFSA ialah Timbalan Yang Dipertua AFSA, Haji Mustapa bin Haji Masri dan bagi pihak AE Jaya Enterprise ialah Awang Aziz bin Awang Jaya.

    Menerusi perjanjian itu, Awang Aziz yang merupakan RS bergiat aktif dengan perusahaan pertukangan tangan akan beroperasi di Banglo Milik AFSA di Jalan Kebangsaan bagi memberikan suasana kondusif kepada beliau untuk melaksanakan pertukangannya dengan baik.

    AE Jaya Enterprise juga akan beroperasi selama dua hingga tiga tahun bersama AFSA dengan terma dan syarat yang dimeterai menerusi perjanjian kerjasama yang telah ditandatangani pada majlis berkenaan.

    Haji Mustapa ketika mengulas mengenai perjanjian kerjasama berkenaan menyatakan harapan supaya perjanjian itu akan memberikan wahana yang positif bagi Awang Aziz untuk terus maju dan dapat mengembang luaskan lagi hasil produknya di negara ini.

    Selepas penandatanganan perjanjian berkenaan, Yang Berhormat Haji Daud dibawa untuk melihat sekitar perusahaan pertukangan tangan berkenaan serta tanaman sayur-sayuran dalam rumah hijau.

    Yang Berhormat Haji Daud meninjau secara lebih dekat tanaman sayur-sayuran di rumah hijau berkenaan. – GAMBAR SERAHAN AFSA
    GAMBAR SERAHAN AFSA

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda