Friday, September 6, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anak damit ‘dikeluarkan’ daripada rahim ibu yang sudah meninggal

    SEMENANJUNG GAZA, PALESTIN, 21 JULAI – Doktor-doktor di Gaza kelmarin telah menyelamatkan seorang anak damit dengan mengeluarkannya dari rahim ibunya beberapa saat selepas dia meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dalam serangan udara Israel.

    Pada tempoh kehamilan sembilan bulan, Ola Adnan Harb al-Kurd berjaya bertahan cukup lama untuk sampai ke Hospital Al-Awda di tengah Gaza selepas serangan semalaman ke atas rumahnya di kem pelarian Nuseirat, kata pakar perubatan.

    Doktor-doktor jabatan kecemasan bergegas bertindak apabila melihat wanita yang sarat mengandung itu tiba dalam keadaan kritikal, kata Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Raed al-Saudi. Dia dibawa ke bilik pembedahan, tetapi sudah ‘nazak,’ beritahu pakar bedah Akram Hussein kepada AFP.

    Wanita yang dikatakan berusia 20an itu gagal diselamatkan, namun doktor mengesan degupan jantung anak damit lalu memanggil pakar perbidanan dan pakar bedah.

    “Pembedahan caesarean kecemasan telah dilakukan dan janin dikeluarkan,” kata Saudi.

    Kurd adalah antara sekurang-kurangnya 30 orang yang terbunuh di seluruh Semenanjung Gaza dalam pengeboman Israel selama 24 jam yang membunuh enam ahli sebuah keluarga di kawasan kejiranan di utara Bandar Gaza, kata para penyelamat dan pegawai perubatan di Gaza yang dikendalikan Hamas. – AFP

    Anak damit diberi nama Malek Yasine, yang dilaporkan dilahirkan melalui pembedahan Caesarean selepas ibunya meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami semasa serangan Israel di Nusseirat di tengah Semenanjung Gaza, dibelai oleh datuknya ketika dia berbaring di dalam inkubator di hospital al-Awda pada 20 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda