Saturday, May 4, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    Beri nafas baharu kepada sisa fesyen

    PARIS – Di bilik pameran Nona Source di utara Paris, pereka memilih tekstil mewah dengan nama istimewa: curly alpaca, geometry guipure macrame, cloque Jacquard sutera.

    Apa yang menjadikannya benar-benar eksotik, bagaimanapun, adalah semuanya berasal daripada ‘deadstock’ – iaitu sisa buang fesyen berjenama apabila gulungan kain habis.

    Sehingga baru-baru ini, menjadi perkara biasa bagi sisa lebihan – seperti pakaian yang tidak terjual – dibakar atau ditanam. Paling baik, ia ditinggalkan mengumpul habuk di dalam bilik stor.

    Menyedari imejnya, gergasi mewah LVMH menubuhkan Nona Source tiga tahun lalu, menjual lebihan stok pada diskaun yang besar kepada pereka akan datang.

    “Saya sedar terdapat apa yang kita panggil sleeping beauties di depoh-depoh, fabrik cantik yang terbiar di sana selama bertahun-tahun selepas koleksi dibuat,” kata pengasas bersama, Romain Brabo.

    Arturo Obegero bergambar di bilik pameran Nona Source, yang menjual semula fabrik daripada LVMH, di Paris pada 14 Mac lalu. – AFP
    Romain Brabo bercakap di bilik pameran Nona Source. – AFP
    Antara fabrik yang terdapat di bilik pameran Nona Source. – AFP
    Gambar menunjukkan bahagian dalam bilik pameran Nona Source. – AFP

    Tahun lepas, ia menjual fabrik sepanjang kira-kira 280 kilometer (km), cukup untuk kira-kira 140,000 item pakaian.

    Antara pelanggan tetap ialah Arturo Obegero, seorang pereka Sepanyol berusia 30 tahun yang hanya menggunakan bahan-bahan kitar semula.

    Walaupun bekerja di ruang kecil rumahnya, beliau telah menerima beberapa tempahan daripada nama-nama terkenal termasuk gaun korset untuk Beyonce dalam konsert Renaissance – bukti kemahirannya dan tarikan yang semakin meningkat terhadap reka bentuk yang mementingkan iklim.

    “Saya berasal daripada keluarga peluncur, nelayan. Apabila awda datang dari sebuah bandar kecil, awda berhubung dengan alam semula jadi, awda belajar untuk menghormatinya,” ujar Obegero.

    Katanya, Nona Source telah membenarkannya bekerja dalam liga besar.

    “Orang ramai lebih sedar tentang produk yang dibeli mereka… tetapi ia boleh menjadi rumit untuk menawarkan sesuatu yang benar-benar mampan pada harga yang berpatutan.”

    Ketika tekanan meningkat ke atas industri fesyen untuk menguruskan timbunan sisa dan kesan ekologi yang besar, inisiatif seperti Nona Source semakin berkembang.

    Syarikat mewah seperti LVMH mampu berusaha – dan juga memahami nilai pemasaran.

    Ia mempunyai matlamat bercita-cita tinggi seperti mengubah pengangkutan daripada kapal terbang kepada bot, melatih pembekal dalam pengurusan air yang lebih baik dan melabur dalam tekstil baharu dipacu teknologi seperti kulit vegan (ia mengatakan ia menguji 300 inovasi sedemikian tahun lepas).

    Namun Helene Valade, ketua kemampanan LVMH, berkata peranan utama syarikat adalah untuk ‘mengembangkan’ pemahaman orang ramai tentang kecantikan.

    “Itulah kuasa kami. Sepuluh tahun lalu apabila kami memakai sesuatu yang dikitar semula, orang ramai mendapatinya hodoh. Ia tidak lagi berlaku,” katanya kepada AFP.

    “Kecantikan bukan lagi sesuatu yang benar-benar licin, sempurna, lurus… Ia juga adalah mengenai apa yang boleh dilakukan oleh pereka dengan fabrik kitar semula.”

    Namun ada yang ragu-ragu.

    “Sehingga mereka mengeluarkan plastik PVC daripada rantaian bekalan mereka, terutamanya di Louis Vuitton, LVMH tidak akan menjadi sebuah syarikat hijau,” kata Dana Thomas, pengarang Fashionopolis mengenai kesan iklim industri.

    Louis Vuitton, jenama mewah terlaris di dunia, memperoleh sebahagian besar pendapatannya daripada beg monogramnya, yang diperbuat daripada kanvas bersalut PVC.

    Thomas mengalu-alukan idea seperti Nona Source, tetapi mendapati ia mengecewakan.

    “Ia idea yang masuk akal. Jadi kenapa mereka tidak melakukannya 20 tahun lalu?” katanya.

    “Fesyen sangat ketinggalan berbanding, katakanlah, industri automobil. Awda kini boleh membeli trak elektrik, tetapi beg masih diperbuat daripada plastik?”

    Katanya, generasi baharu eksekutif fesyen akhirnya memberikan perhatian, dan Nona Source melihat kesannya apabila sejumlah besar lebihan sisa yang diterimanya sudah pun dibuat daripada tekstil kitar semula.

    “Kami melihat perubahan besar yang nyata,” kata Brabo.

    Semasa dia bercakap dengan AFP, Charles de Vilmorin berjalan masuk, bakat luar biasa berusia 27 tahun yang merupakan pengarah kreatif untuk Rochas dan mengendalikan
    label Parisnya sendiri.

    “Saya datang ke sini untuk inspirasi. Saya suka kejutan,” kata De Vilmorin.

    “Saya dapatinya mengagumkan mereka memberi nafas baharu kepada fabrik ini, bahawa ia tidak dibuang atau dimusnahkan… Ia amat penting,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...