Thursday, May 2, 2024
30.3 C
Brunei

    -

    Buka sempadan: KKM diberi masa 2-3 minggu

    JOHOR BAHRU, 18 FEB – Kementerian Kesihatan (KKM) Malaysia diberi masa dua hingga tiga minggu untuk membentangkan kepada kabinet pelbagai cadangan dan prosedur operasi standard (SOP) berhubung pembukaan sempadan negara kepada pelawat, sebelum keputusan mengenainya dimuktamadkan.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan membuka sempadan harus dilihat dengan teliti memandangkan pelbagai pendapat diterima kerajaan, termasuk ada kalangan rakyat masih mahu kerajaan membuat intervensi dalam perkara-perkara terutamanya yang melibatkan SOP dan sebagainya, kerana takut dengan penularan COVID-19.

    “Kalau boleh kita nak buka semula ekonomi, terutamanya pendapatan daripada pelancongan ini besar, jadi boleh membantu negara, tetapi dalam masa yang sama kita perlu lindungi rakyat kita, jadi keseimbangan ini yang sedang dicari oleh KKM. 

    “Kita dah beri tempoh kepada KKM dalam masa dua hingga tiga minggu, mereka kena bentang dalam kabinet untuk kita buat keputusan… sama ada kita hendak buka terus sempadan kita, ataupun masih lagi ada sekatan-sekatan (melibatkan) negara-negara terpilih,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Taman Nusantara, di sini hari ini.

    Ismail Sabri berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang mengulangi pendirian mengenai kepentingan pembukaan sempadan pada 1 Mac ini.

    Pada 8 Feb lepas, Muhyiddin mengumumkan keputusan MPN yang bersetuju dengan cadangan supaya Malaysia membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib, seawal 1 Mac depan, bagaimanapun menurutnya ia perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa. – Bernama

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga, kiri) menunjukkan kemahirannya memasak kupang bakar semasa mengadakan lawatan ke gerai jualan pada Karnival Usahawan dan Koperasi Malaysia di Dewan Taman Nusantara dekat Gelang Patah. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jeremiah Manele dipilih sebagai PM baharu Kepulauan Solomon

    HONIARA, 2 MEI - Menteri Luar Jeremiah Manele dipilih sebagai Perdana Menteri baharu Kepulauan Solomon oleh ahli Parlimen negara itu pada Khamis, umum Gabenor...