Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    BIBD: Kempen Negara Lestari dilancarkan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) melalui siri program kempen SME 360, bersama Community for Brunei, telah melancarkan Kempen Negara Lestari secara maya, hari ini.

    BIBD dalam kenyataan yang dikeluarkan menjelaskan, ia me-rupakan kempen seluruh negara bertujuan untuk menggalakkan tindakan walaupun kecil tapi memberi kesan untuk memerangi krisis perubahan iklim dan menuju ke arah ekonomi kitaran khususnya untuk perniagaan kecil dan orang ramai amnya.

    Kempen selama empat bulan dari Februari hingga Julai, pertama seumpamanya, yang melibatkan pelbagai peringkat dan agensi itu menghimpunkan pelbagai rakan kongsi daripada sektor yang berbeza termasuklah agensi kerajaan seperti Majlis Perubahan Iklim Brunei dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), pertubuhan bukan kerajaan seperti Rangkaian Advokasi Belia ASEAN, Bruwild, Borneo Futures dan MySDG; dan usahawan seperti Thryffy.

    Ketua Digital Korporat dan Pembangunan Perniagaan BIBD daripada Kumpulan Perbankan Korporat, Haji Shamri bin Haji Mahali berkata, kempen berkenaan adalah sebahagian daripada perjalanan perniagaan yang mengikuti salah satu daripada tiga tonggak Rangka Kerja Kelestarian BIBD iaitu keusahawanan bertanggungjawab.

    “Topik kemapanan mungkin baharu kepada kebanyakan kita dan pihak kami berharap, pendidikan dan kesedaran yang dibawa melalui rangkaian acara di bawah Negara Lestari ini akan dapat membantu membawa pemahaman bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan langkah-langkah yang boleh membantu mewujudkan ekonomi kitaran.

    Antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan usahawan yang hadir semasa kempen berkenaan.

    “Tidak dinafikan, PKS mempunyai potensi untuk menjadi asas agenda kemampanan domestik dan global,” jelasnya.

    BIBD menjelaskan, teras Kempen Negara Lestari ialah Siri Eco-chat yang dilaksanakan dengan kerjasama AYAN Brunei yang antara lain bertujuan menjadi pemangkin kepada perubahan dan pendidikan dengan memulakan perbualan dan mendidik orang ramai bersama pakar industri dan pihak berkepentingan.

    Antara tajuk yang akan dibincangkan dalam Siri Eco-chat itu adalah krisis iklim, matlamat pembangunan mampan, pencemaran plastik dan fesyen segera.

    Siri berkenaan dibuka kepada orang ramai dan disiarkan secara langsung kepada masyarakat yang akan menampilkan penceramah dari BIBD, Sekretariat Perubahan Iklim Brunei, Green Brunei, KKBS, Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), Brunei LNG dan lainnya.

    Community for Brunei juga akan bekerjasama dengan KKBS dalam aktiviti berkaitan dengan Hari Wanita Antarabangsa di bawah Kempen Negara Lestari.

    Pemangku Pengarah Perkhidmatan Sosial di KKBS, Hajah Noraidah binti Haji Abdul Hamid menjelaskan, tahun ini menandakan tahun ke-9 Hari Wanita Antarabangsa disambut di Brunei Darussalam, di mana negara menyertai kempen global untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu yang berkaitan dengan wanita dan isu-isu kebajikan secara keseluruhannya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...