Friday, September 6, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Buktikan kebolehan atlet negara

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Kontinjen Negara Brunei Darussalam dianggotai seramai lapan orang terdiri daripada tiga orang atlet dan lima orang pegawai termasuk chef de mission, pegawai perhubungan, ketua urus setia dan jurulatih akan menyertai Sukan Olimpik ke-33 di Paris, Perancis pada 26 Julai hingga 11 Ogos.

    Sehubungan itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC) kelmarin berkenan berangkat ke Majlis Penyempurnaan Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Olimpik ke-33, Paris, Perancis 2024 yang berlangsung di Bilik Hijau, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran bin Haji Kunchang dan diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Pada majlis itu, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara turut berkenan mengurniakan sabda di mana penyertaan negara pada Sukan Olimpik Paris sekali lagi, adalah penyertaan melalui universality places, yang diberikan kepada negara-negara yang tidak mempunyai mana-mana atlet yang boleh melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

    “Ini adalah matlamat Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), bagi memberikan peluang kepada semua negara ahli untuk beraksi dalam arena Sukan Olimpik, walaupun tidak mempunyai atlet yang berkelayakan,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.

    Duli Yang Teramat Mulia sempat menitipkan nasihat supaya para atlet menjaga nama baik negara, termasuk menjauhi bahan-bahan terlarang, serta mematuhi, akta dan peraturan anti-doping, yang dikuatkuasakan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

    “Kesempatan yang diberikan kepada atlet olahraga dan renang ini hendaklah dihargai sepenuhnya dengan menunjukkan daya saing yang tidak pernah menyerah kalah, mempamerkan pencapaian yang terbaik semasa pertandingan nanti dan berusaha dalam memecahkan rekod kebangsaan ataupun rekod persendirian masing-masing.”

    Berikutnya, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara menyeru semua pihak yang terlibat untuk membuat satu sasaran pada masa akan datang.

    “Ini bagi membuktikan yang negara kita juga mampu untuk melahirkan atlet-atlet kebangsaan yang berkebolehan bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik, tanpa mengharapkan universality places.

    “Ini adalah satu cabaran kepada atlet-atlet, jurulatih dan persatuan-persatuan sukan kebangsaan, untuk membuat perancangan yang lebih terperinci dalam sama-sama berusaha untuk mencapai matlamat, bagi melahirkan atlet- atlet kebangsaan, yang mampu untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik akan datang,” tekannya.

    Duli Yang Teramat Mulia percaya bahawa, tanpa perancangan yang terperinci, sebarang matlamat pun tidak akan tercapai sama sekali.

    “Contohilah dan belajarlah daripada mana-mana persatuan sukan kebangsaan yang telah berhasil melahirkan atlet-atlet yang berjaya dalam sukan serantau ataupun antarabangsa, kerana dengan belajar sahajalah kita boleh menimba ilmu pengetahuan bagi memajukan sukan masing-masing.”

    Duli Yang Teramat Mulia seterusnya mengingatkan kepada para atlet, terutama sekali yang akan menyertai Sukan Olimpik nanti, supaya tidak memikirkan yang penyertaan mereka adalah hanya sekadar untuk ikut serta sahaja.

    “Jika pemikiran seperti ini sentiasa ada dalam fikiran atlet-atlet, maka harapan untuk mereka maju ke hadapan dan usaha untuk melayakkan diri akan tetap saja tidak berkesampaian.”

    Majlis diteruskan dengan penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam oleh Duli Yang Teramat Mulia kepada Pengarah Belia dan Sukan, Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim selaku chef de mission kontinjen Negara Brunei Darussalam.

    Majlis diakhiri dengan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran dan diikuti dengan sesi bergambar ramai.

    Pada edisi Sukan Olimpik kali ini, Negara Brunei Darussalam akan menyertai dua acara sukan iaitu olahraga dan renang, yang mana Awang Muhammad Noor Firdaus Ar-Rasyid bin Haji Mohd Idris akan menyertai acara Lelaki 100 Meter dalam sukan olahraga. Manakala, Zeke Chan Zhi Yue akan menyertai acara Lelaki 100 Meter Kuak Lentang dan Hayley Wong Ann Yue akan menyertai acara Wanita 100 Meter Kuak Dada bagi sukan renang.

    Tahun ini merupakan penyertaan ketujuh Negara Brunei Darussalam dalam Sukan Olimpik di mana penyertaan terakhir negara ialah pada tahun 2021 di Sukan Olimpik ke-32, Tokyo, Jepun.

    Turut hadir ke majlis tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Bernard Regnauld-Fabre; setiausaha-setiausaha tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS); ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan; persatuan-persatuan sukan kebangsaan; dan pegawai-pegawai kanan KKBS serta para ibu bapa dan penjaga atlet.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah semasa berkenan mengurniakan sabda. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara semasa berkenan menyerahkan bendera negara. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    GAMBAR OLEH JAMES KON
    Antara yang hadir ke majlis yang berlangsung di Bilik Hijau, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas. – GAMBAR OLEH JAMES KON

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda