Friday, November 1, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cuaca aktif hingga 19 Mei

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MEI – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif bermula hari ini hingga 19 Mei dengan hujan lebat dan berpetir dijangka berlaku sekali-sekala menjejaskan banyak kawasan.

    Menurut kenyataan Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (BDMD) hari ini, semasa hujan lebat atau berpetir, kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45kmsj.

    Ia disebabkan oleh pertembungan dua arah angin yang berbeza berlaku di rantau kita, yang mengakibatkan keadaan atmosfera menjadi lembap dan seterusnya menggalakkan pembentukan awan hujan.

    BDMD juga menyatakan negara ketika ini masih berada dalam tempoh peralihan monsun.

    Di sepanjang tempoh ini, keadaan cuaca dipengaruhi oleh kesan angin tempatan, yang lazimnya hujan atau hujan berpetir di kawasan pedalaman pada sebelah petang, menjejaskan pesisiran dan perairan negara pada sebelah malam hingga kadang-kala boleh berlanjutan sehingga awal pagi keesokan hari.

    Sementara itu, di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya di paras sedikit, dengan ketinggian ombak antara 0.3 dan 0.6 meter.

    Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku.

    Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan juga semasa kejadian air pasang. Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

    BDMD menasihatkan orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini serta membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    Jabatan itu akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit, Brunei WX atau hubungi peramal cuaca di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau layari laman sesawang www.met.gov.bn atau Facebook dan Instagram @bruneiweather dan saluran Telegram Brunei Weather.

    Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif bermula hari ini hingga 19 Mei dengan hujan lebat dan berpetir dijangka berlaku sekali-sekala menjejaskan banyak kawasan.- GAMBAR FAIL MUIZ MATDANI

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda