Friday, November 8, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cuba bunuh guna vaksin palsu, doktor British dipenjara

    LONDON, 7 NOV – Seorang doktor British yang tidak berpuas hati mengenai pembahagian harta pusaka telah dijatuhi hukuman penjara 31 tahun kelmarin atas dakwaan cubaan membunuh teman lelaki ibunya dengan menyuntik racun yang disamarkan sebagai vaksin COVID-19.
     
    Dr Thomas Kwan, 53, menyamar sebagai jururawat yang kononnya melakukan kunjungan rumah untuk pemberian dos penggalak COVID-19, sebelum menyuntik Patrick O’Hara dengan racun pemakan daging. 
     
    Kwan dipercayai bertindak demikian kerana menganggap lelaki tersebut menghalangnya daripada mewarisi harta ibu, termasuk rumah kediaman. 
     
    “Ia adalah satu rancangan berani untuk membunuh secara terang-terangan, dan awda hampir berjaya melaksanakannya,” kata Hakim Christina Lambert. 
     
    “Awda jelas sekali terlalu taksub dengan wang, terutama wang yang awda anggap sebagai hak awda,” tambahnya.
     
    Kwan mengaku bersalah atas cubaan membunuh di Mahkamah Mahkota Newcastle bulan lalu.
     
    Mangsa, O’Hara, 72, terselamat selepas menjalani rawatan intensif selama beberapa minggu, termasuk pembedahan untuk membuang sebahagian lengannya bagi menghalang jangkitan nekrotik fasciitis daripada merebak. Insiden tersebut memberi kesan mendalam pada dirinya, menjadikannya ‘sekadar bayangan dirinya yang dahulu’. Susulan kejadian itu, hubungan antara O’Hara dan ibu Kwan, Jenny Leung, turut berakhir. – AP  
     
    Patrick O’Hara (tengah) bercakap kepada media di luar Mahkamah Newcastle Crown, di Newcastle, England, baru-baru ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda