Wednesday, November 13, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Doa Kesyukuran sempena Puja Usia

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Persatuan Jururawat Negara Brunei Darussalam (PENJURU) telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran dan sembahyang berjemaah sempena Sambutan Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, hari ini.

    Majlis yang diadakan di Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong itu, sebagai tanda merafakkan syukur dan seterusnya berdoa ke hadrat Allah SWT agar melimpahkan kurnia kesihatan, dilanjutkan usia dan kesejahteraan kehadapan majlis Baginda Raja Isteri.

    Di samping itu, ia juga bagi memohon keberkatan daripada Allah SWT agar Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja sentiasa dalam perlindungan Allah SWT.

    Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah diikuti bacaan Surah Yasin, bacaan Doa Kesyukuran Hari Puja Usia Baginda Raja Isteri dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Imam Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong, Haj Mohd Zaidin bin Haji Mohd Noor.

    Acara kemudian diteruskan dengan sembahyang Fardu Isyak berjemaah. Majlis dikendalikan oleh PENJURU itu merupakan salah satu aktiviti Badan Keagamaan dan Sosial PENJURU dan sebagai tanda kasih kehadapan Baginda Raja Isteri selaku Penaung Diraja PENJURU.

    Turut hadir ke majlis itu, Yang Di-Pertua PENJURU, Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah binti Abdullah; Naib Yang Di-Pertua, Hajah Asmah binti Haji Omar serta ahli-ahli Lembaga Tadbir PENJURU, jemputan khas serta jururawat dan bidan.

    Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah dan Hajah Asmah bersama peserta lain semasa bacaan Surah Yasin pada majlis yang berlangsung di Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong kelmarin. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda